25 saksi beri keterangan kes AMLA Najib - Utusan Malaysia

25 saksi beri keterangan kes AMLA Najib

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menghantar surat kepada mahkamah bagi memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit membetulkan fakta dalam afidavit yang difailkan oleh Ahmad Zahid Hamidi berkaitan perintah tahanan rumah Najib Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar keterangan 20 hingga 25 saksi pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang dijadualkan bermula September ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan, pihaknya sedang menyiapkan pernyataan saksi sebelum menyerahkannya kepada pihak pembelaan.

“Setakat ini hanya satu pernyataan saksi telah siap dan kami memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk menyudahkannya kerana bukan semua saksi berada di Lembah Klang, pernyataan itu saling berkaitan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Hakim K. Muniandy memberi tempoh dua bulan sehingga Mei ini bagi membolehkan pernyataan saksi disiapkan segera sebelum perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 27 Mei untuk sebutan kes manakala pihak pendakwaan diarah menyerahkan pernyataan saksi kepada pembelaan sebelum 20 Mei.

Najib, 71, dijadual dibicarakan pada 17, 18,19, 23 dan 24 September ini.

MEMUTUSKAN

Dalam pada itu, Mohd. Ashrof turut memaklumkan bahawa pihaknya belum memutuskan representasi yang dikemukakan oleh Najib bagi menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, pihak pembelaan masih menunggu keputusan representasi yang dikemukakan tahun lalu.

“Sudah hampir sembilan bulan (sejak dikemukakan) namun representasi  belum ada keputusan, tidak adil pada anak guam saya,” ujar Muhammad Shafee.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri daripada pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Muniandy tidak membuat sebarang perintah berhubung permohonan  itu selepas Mohd. Ashrof memaklumkan arahan yang diterima setakat ini adalah supaya pendakwaan diteruskan.

Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan AMLA, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti AMLA dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN