KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, tidak semua dokumen diperoleh pendakwaan melibatkan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diserah kepada pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, 37, mengakui beberapa dokumen melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dari Hong Kong dan Switzerland tidak diserah kepada pasukan pembelaan Najib.
Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, dokumen-dokumen berkenaan tidak relevan dengan siasatan yang dijalankan.
Katanya, kesemua dokumen MLA untuk siasatan kes 1MDB diperoleh dari Singapura, Hong Kong, Barbados dan Switzerland.
Sehubungan itu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sesi soal balas mempersoal mengapa terdapat beberapa dokumen terlibat tidak diserah kepada pihaknya.
Beliau turut mempersoal Nur Aida berhubung 23 dokumen diperoleh dari Switzerland yang didakwa mempunyai tarikh bercanggah.
Nur Aida pula berkata, beliau sudah memberi taklimat kepada pasukan pendakwaan dan sebelim pihak pendakwaan bersetuju ia tidak relevan untuk kes 1MDB.
Katanya, beliau menerima dokumen dari Switzerland sebanyak enam kali bermula 28 Januari 2019 dalam bentuk cakera padat (CD).
Muhammad Shafee: Mengapa anda tidak memberi selebihnya kepada pihak pembelaan supaya pihak pembelaan boleh memutuskan sama ada ia berkaitan dengan pembelaan atau tidak?
Nur Aida: Apabila saya melihat dokumen itu, bagi saya ia tidak relevan dan saya memberi taklimat kepada pasukan pendakwaan dalam kes ini. Selepas pihak pendakwaan meneliti dan mencadang dokumen itu dikemukakan di mahkamah.
Ketika peguam merujuk saksi kepada kesemua dokumen berkenaan, didapati tarikh yang tertera ialah Mac 2019.
Muhammad Shafee turut mempersoal mengapa terdapat dokumen MLA yang dimeterai dan selebihnya tidak.
Nur Aida memberi keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan. – UTUSAN










