KUANTAN: Lelaki yang dikenali sebagai ‘Hot Daddy Ash’ menafikan ada rakaman video ataupun sesi temubual dengan sebuah laman web penstriman, Bros Gang TV (BGTV) seperti tular di laman media sosial, baru-baru ini.
‘Daddy Ash’ atau nama sebenarnya Hasli Ikhwan Arif Zulhasli, 32, berkata, gambar itu diambil minggu lalu dan perjumpaan tersebut sekadar berjumpa dengan kenalannya di BGTV.
“Saya menafikan ada video temubual yang bercakap tentang kes saya ataupun cubaan mempromosikan aktiviti persundalan seperti didakwa.
“Kami berjumpa sekadar berbual-bual kosong, bergambar dan bermain ‘game’,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Nai’im Mokhtar mengingatkan pempengaruh media supaya tidak mencipta sensasi sehingga sanggup menormalisasikan perkara maksiat dan mungkar kerana menagih populariti.
Sebelum ini juga, sekeping gambar memaparkan sebuah program video siar atau podcast yang menjemput ‘Hot Daddy Ash’ sebagai tetamu dan warganet melihat ia sebagai mempromosikan serta menormalisasikan aktiviti persundalan.
Lelaki berkenaan sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan mengiklankan video lucah menerusi aplikasi X.
Hari ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak mengesan rakaman video platform audio siar yang memaparkan sesi temubual dengan seorang lelaki yang terbabit aktiviti persundalan seperti yang tular di media sosial.
Fahmi dilaporkan berkata, SKMM ada menerima aduan tentang video itu, malah laporan turut dibuat.
Mengulas lanjut, Hasli Ikhwan Arif berharap netizen berhenti melemparkan fitnah berhubung pertemuannya dengan BGTV. – UTUSAN










