PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu.
Dalam masa yang sama, menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyeru masyarakat Islam untuk sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taasub.
Beliau berkata, ketaasuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.
Menurutnya, sikap taasub menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan (eksploitasi nasab suci nabi),” katanya semalam.
Mohd. Na’im berkata, semua pihak dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berhubung apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam.
Sebelum ini, PDRM dilaporkan sedang memantau kegiatan seorang lelaki warganegara Maghribi yang mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
Individu itu dikenali sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ dalam kalangan pengikutnya.
Media melaporkan, seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosi Mawla Amin mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.
Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata, umat Islam di seluruh negara perlu berhati-hati agar tidak tertipu dengan individu yang mendakwa dirinya mempunyai kaitan dengan susur galur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW.
“Umat Islam perlu berhati-hati dengan dakwaan individu yang tidak jelas serta tidak mempunyai pembuktian mengenai latar belakang individu serta ajaran yang dibawa,” katanya.
Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengenalpasti individu sebelum memberikan kebenaran dalam menyampaikan ajaran Islam. – UTUSAN










