Tengku Hassanal bersama 3,000 Subuh Fighter, solat subuh berjemaah - Utusan Malaysia

Tengku Hassanal bersama 3,000 Subuh Fighter, solat subuh berjemaah

LEBIH 3,000 jemaah hadir ‘Subuh macam Jumaat’ bersama Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gelombang kempen solat ‘Subuh Macam Jumaat’ tidak terhenti malah aktiviti meningkatkan jati diri dan mengimarahkan masjid itu semakin mendapat perhatian.

Dalam penganjuran program ‘Subuh Fighter’ buat kali ketiga di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini, lebih 3,000 jemaah hadir. Berkenan berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Imam Besar Masjid Sultan Ahmad 1, Mohd. Rizzal Mohd. Ali berkata, pihaknya akan menjadikan aktiviti tersebut program mingguan dalam usaha menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan.

“Bermula dengan 700 jemaah ia meningkat lebih kurang dua kali ganda dalam tempoh beberapa minggu. Alhamdulillah… sekali lagi Subuh Fighter 3.0 yang baru bermula dua minggu lalu berjaya mengumpul sehingga 3,000 jemaah.

“Susulan itu, pihak masjid bercadang membuka ruang untuk menjadikan kempen tersebut dapat dijalankan pada setiap Ahad (peringkat awal).

“Tidak hanya membuka ruang kepada penduduk setempat, malah mereka yang berkunjung ke daerah ini juga dialukan dan kerana itu dalam masa sama dapat menjadikan sebagai produk pelancongan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Program itu bermula seawal 5.30 pagi dimulakan dengan Solat Tahajud, Solat Taubat dan Solat Hajat secara berjemaah seterusnya menunaikan solat Subuh diimamkan Iman 1, Muhammad Izzan Idris.

Mengulas lanjut, Mohd. Rizzal berkata, sambutan begitu menggalakkan kerana jumlah itu melebihi sasaran awal dan menampakkan ada peningkatan.

“Kehadiran anak muda untuk solat Subuh berjemaah merupakan satu fenomena yang perlu diteruskan. Program seumpama ini mesti dibuat dengan sokongan anak muda dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)… ini kerana Masjid Negeri tidak boleh melaksanakannya secara bersendirian, ia mesti ada kerjasama.

“Masyarakat beragama Islam juga diharap dapat menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai rutin harian mereka sekali gus komited untuk datang ke masjid setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata jemaah ditemui menyambut baik kempen tersebut dan berharap ia diteruskan di masjid-masjid lain di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN