Terpaksa solat atas katil, elak keluarga tahu peluk Islam

Terpaksa solat atas katil, elak keluarga tahu peluk Islam

WONG YING WAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Semakin banyak saya mengkaji tentang Islam, semakin terasa hidup ini dipandu ke arah yang betul.

Itu pengakuan jujur Wong Ying Wai, 26, seorang pemuda berbangsa Cina yang dikurniakan hidayah memeluk Islam sejak tiga tahun lalu.

Dia melafazkan syahadah di hadapan seorang ustaz yang berasal dari China di kediaman ustaz berkenaan pada 2023.

Namun, anak sulung daripada empat beradik itu pada awalnya memilih untuk merahsiakan keislamannya daripada pengetahuan keluarga kerana bimbang dengan penerimaan mereka.

“Kalau balik rumah, saya terpaksa solat atas katil sebab bimbang kalau ahli keluarga lain melihat ada sejadah dalam bilik.

“Adik-beradik pun belum tahu saya sudah masuk Islam ketika itu. Kadang-kadang, bila pergi restoran saya terpaksa bagi alasan tak nak makan sebab tak tahu ayam disembelih atau tidak apabila keluar makan bersama dengan keluarga.

“Terasa juga bila emak cakap ‘Semua emak mesti gembira kalau anak makan sekali dengan mereka’. Bukan saya tak nak makan, tetapi itu restoran Cina, tak akan saya mahu cakap kedai tidak halal pula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Ying Wai yang kini bekerja sebagai pereka grafik di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara akhirnya memberanikan diri dengan memberitahu pengislaman dirinya semasa menikmati makan malam bersama keluarga, tahun lalu.

Dia yang pada mulanya bimbang akan dimarahi oleh ahli keluarga lain, sebaliknya terkejut dengan reaksi dan penerimaan mereka.

“Pada ketika itu, saya menyangka mereka akan marah atau meninggalkan saya bersendirian di meja makan.

“Namun begitu, mereka menerima pengakuan jujur saya dengan hati yang terbuka. Sejak itu, hubungan saya dengan mereka menjadi semakin erat,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita Melayu, tahun lalu.

Berkongsi lanjut, dia memberitahu begitu tertarik untuk mendalami Islam dan sering bertanya ustaz sekiranya berdepan kemusykilan termasuk persoalan mengenai meyakini kewujudan Allah SWT semasa menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara.

Selain menonton YouTube sebagai rujukan agama, katanya, teman wanita (kini isteri) yang dikenalinya di kolej swasta itu, adalah punca dirinya begitu tertarik untuk masuk Islam.

Pada masa sama, banyak persoalan membelenggu diri anak muda ini. Melihat teman wanita berlitup menutup aurat, hatinya semakin tertanya-tanya keperluan melakukan sedemikian.

“Saya pelik kenapa wanita perlu menutup aurat dan pakai tudung. Teman wanita saya selalu bagi jawapan yang menyenangkan sehingga membuatkan saya tertarik untuk mendalami Islam,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN