Syarikat telekomunikasi perlu ambil tindakan segera aduan masalah rangkaian - Utusan Malaysia

Syarikat telekomunikasi perlu ambil tindakan segera aduan masalah rangkaian

FAHMI Fadzil (tengah) hadir pada program Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi disaran mengambil tindakan segera jika terdapat sebarang aduan oleh pengguna rangkaian mudah alih di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebarang aduan perlu dilaporkan kepada kementerian terbabit menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk penambahbaikan.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan usaha kerajaaan membantu menyelesaikan masalah liputan 5G yang masih kurang memuaskan di beberapa kawasan di seluruh negara.

“Perbincangan lanjut akan diadakan dengan SKMM dan pihak Digital Nasional Bhd. (DNB) untuk kita teliti apa yang boleh dilakukan dalam melakukan penambahbaikan.

“Ia akan dilakukan pada kadar segera bagi membolehkan lebih banyak menara yang dapat menyediakan perkhidmatan 5G. Seperti mana sedia maklum secara keseluruhan di negara ini… kita sudah mencapai sehingga 80.2 peratus capaian kawasan yang berpenduduk,” katanya dalam sidang akhbar pada program Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh di sini hari ini.

Beliau hadir bersama beberapa agensi terlibat bagi menjalankan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) dan sudah dilakukan di sepanjang laluan dari Sungai Karang menuju ke PEDi FELDA Bukit Goh dengan melalui beberapa jalan dan kawasan utama di Kuantan.

Ujian tersebut dilakukan secara berperingkat bagi menilai isu panggilan suara terputus bagi rangkaian mudah alih, sepanjang ujian dilaksanakan, terdapat satu panggilan terputus telah direkodkan.

Pahang merupakan lokasi ketiga selepas dua sesi diadakan di Putrajaya dan Melaka.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, di Pahang lebih 65 peratus kawasan sudah mendapat liputan 5G.

“Banyak lokasi sudah mendapat permintaan bagi liputan tersebut. Jadi bagi kawasan yang masih mendapat liputan rendah kita akan terus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menangani masalah tersebut.

“Kita akan bincang dan teliti dalam kadar segera namun begitu kalau ada banyak manfaat kita cuba percepatkannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN