JOHOR BAHRU: Johor menyasarkan kira-kira 70 kilauan emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu mampu membantu Johor mengulangi kejayaan muncul juara keseluruhan pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur sebelum ini.
Bagi mencapai sasaran itu, semua atlet yang bakal mewakili negeri ini perlu memerah keringat dan berusaha lebih keras dalam tempoh enam bulan akan datang bagi memastikan sasaran itu mampu dicapai.
“Sasaran yang diletakkan kali ini adalah 40 hingga 50 pingat emas, tapi saya fikir kita boleh buat lebih baik setelah melihat semangat yang ditonjolkan oleh atlet kita.
“Saya yakin, kita dapat meraih antara 60 hingga 70 pingat emas. Atlet yang mengambil bahagian diharap terus bersemangat dan pastikan ia menjadi kejayaan,” katanya pada Majlis Countdown Sukma Johor ‘Sukma 2024’ : The Next Chapter di Pusat Akuatik MBJB, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah.
Onn Hafiz turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 bagi setiap atlet perseorangan yang meraih pingat emas dan RM20,000 bagi acara berpasukan.
Katanya, insentif itu diumumkan lebih awal bagi menjadi motivasi kepada atlet untuk berusaha bermati-matian mencapai kilauan emas dan bagi jurulatih pula diberi insentif sebanyak RM5,000 atas usaha gigih mereka membantu atlet meraih pingat emas.
Dalam pada itu, Mohd. Hairi menyifatkan sasaran itu sebagai cabaran besar bagi Kontinjen Johor untuk mengekalkan kejuaraan Sukma edisi ke-20 di Kuala Lumpur pada 2022, namun ia tidak mustahil untuk diraih.
Katanya, insentif bagi pingat perak dan gangsa pula akan dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam masa terdekat.
“Insentif pingat emas ini kita umum dahulu, ini kerana dapat memberi suntikan semangat atlet kita dan mahu mereka fokus memburu kilauan emas,” katanya. – UTUSAN











