Serangan Israel menular ke Tebing Barat - Utusan Malaysia

Serangan Israel menular ke Tebing Barat

Israel kini meluaskan serangan ke Tebing Barat menyebabkan semakin ramai penduduk Palestin terkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Pa­lestin menular ke Tebing Barat apabila seramai 381 orang warga di wilayah tersebut dibunuh sejak 7 Oktober lalu dengan 70 daripada mereka membabitkan kanak-kanak.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa Palestin, jumlah serangan terhadap rakyatnya kini mencecah 28,268 kes sejak peperangan meletus di Semenanjung Gaza sehingga hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Aqsa Malaysia, Dr. Sharif Abushammala berkata, jumlah rakyat Palestin yang cedera akibat serangan juga melebihi 3,900 orang.

“Daripada keseluruhan sera­ngan dilaporkan, 791 kes didalangi peneroka haram Israel di seluruh Tebing Barat. Ia dipercayai ada kaitan dengan sera­ngan rejim Zionis terhadap Gaza.

“Tentera penjajah juga dilaporkan menahan sekitar 6,460 rakyat Palestin tanpa sebarang alasan munasabah termasuk 260 orang kanak-kanak dan remaja berusia bawah 18 tahun,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, sebanyak 2,440 kes membabitkan tindakan tentera penjajah menyerbu masuk ke rumah rakyat Palestin serta 4,840 pencerobohan dilaporkan.

KALANGAN

“Ini mencetuskan ketega­ngan dalam kalangan lebih tiga juta rakyat Palestin yang berada di Tebing Barat dan perlu dihentikan segera,” katanya.

Pada 30 Januari lalu, beberapa tentera Israel dilaporkan menyamar sebagai doktor dan jururawat di Hospital Ibn Sina di Tebing Barat sebelum melepaskan tembakan ke arah tiga rak­yat Palestin yang sedang mendapatkan rawatan.

Tindakan itu mengakibatkan Muhammad Jalamnah, Muhammad Ayman Ghazawi dan Basel Ayman Ghazawi maut di hospital tersebut dengan tuduhan kononnya bersembunyi daripada tentera penjajah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Media Hamas melaporkan, seramai 22 rakyat Palestin yang berada di Lubnan dan Syria telah dibunuh sejak peperangan Palestin-Israel meletus termasuk membabitkan Timbalan Ketua Biro Politiknya, Sheikh Saleh Al-Arouri.

“Dalam serangan itu, dua komander utama Briged Al-Qassam turut terkorban,” katanya.

Pada 2 Januari lalu, Sheikh Saleh terbunuh selepas kejiranan di Dahieh, Beirut, Lubnan dibom rejim Zionis melalui serangan udara. Beliau dikatakan antara tulang belakang serangan mengejut mujahidin Palestin ke atas Israel pada 7 Oktober lalu. _ UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN