KUALA LUMPUR: Fahmi Fadzil menafikan beliau gagal memainkan peranannya sebagai jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan seperti didakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ini susulan kontroversi berhubung tempoh pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikurangkan dari 12 tahun kepada enam tahun seperti dilaporkan media antarabangsa.
Berkaitan isu itu, Fahmi didakwa lambat bertindak memberi penerangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi itu berkata, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris yang sebaliknya gagal menerangkan kepada Bersatu sehingga enam ahli parlimennya beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan PKR itu memberi nasihat kepada Razali supaya beliau menumpukan lebih perhatian kepada partinya yang semakin terumbang-ambing.
“Pada ketika beliau menuduh saya seperti ini, bagi saya beliau tidak memahami fungsi dan tugas saya. Razali berada dalam keadaan yang sangat tertekan memandangkan enam ahli parlimennya menyokong kerajaan.
PERANG
“Sebenarnya beliau yang gagal memberi penerangan kepada Bersatu, malah sekarang ini disebut-sebut perang dingin antara Bersatu dan Pas. Jadi, beliau sepatutnya fokus sahaja kepada parti sendiri yang semakin terumbang-ambing dan berpecah-belah,” katanya ketika ditemui semalam.
Fahmi sebelum itu hadir Forum Teknologi Sidang Kemuncak Komunikasi Malaysia ‘Melakar Masa Depan Bersama’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini semalam.
Fahmi ditanya mengenai dakwaan Razali pada Khamis lalu, bahawa beliau gagal memainkan peranannya sebagai jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan.
Dilaporkan Razali berkata, tiada langkah diambil Fahmi ketika media antarabangsa melaporkan tempoh pemenjaraan Najib yang dikurangkan dari 12 kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan atas kesalahan rasuah.
Kata Razali, sikap Fahmi dilihat tidak kompeten selain tidak teliti terhadap laporan-laporan berita dalam negara yang memalukan, malah memberi kesan buruk terhadap imej negara.
Fahmi dilantik sebagai jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan pada 31 Januari 2023 untuk berhadapan dengan media bagi mendapatkan kepastian terhadap isu-isu yang perlu mendapatkan pengesahan.
Pada Jumaat lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan memaklumkan, Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 selepas hukuman penjara 12 tahun sebelum ini dikurangkan kepada enam tahun.
Katanya, denda perlu dibayar Najib juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan semalam, Fahmi berkata, PKR belum membuat keputusan untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim atas sikapnya yang dilihat mencampuri urusan parti politik lain.
Ini selepas Hassan dilaporkan mencabar pimpinan PKR dengan kesediaannya diambil tindakan disiplin termasuk dipecat, jika haknya untuk bersuara dianggap sebagai kesalahan.- UTUSAN







