JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pemberian subsidi harga barang, terutamanya menjelang musim perayaan menerusi Jualan Kasih Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40 bagi mendapatkan barangan keperluan harian.
Program itu menyasarkan 800,000 penerima manfaat di 300 lokasi sepanjang tahun ini menerusi kaedah pengurangan harga yang signifikan bagi produk makanan terpilih seperti ayam, telur, minyak masak dan ikan.
“Kerajaan negeri terus komited dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang mendepani keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
*Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pemberian subsidi harga barang terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan banyak lagi di pasar-pasar tani, pasar awam serta lokasi-lokasi yang terpilih,” katanya selepas merasmikan Jualan Kasih Johor di Taman Johor, Kempas di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkifli.
Onn Hafiz berkata, Jualan Kasih Johor yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina diadakan di 30 lokasi terpilih bermula Ahad lalu hingga Jumaat ini dan sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri menyediakan pemberian subsidi sebanyak RM1.3 juta.
“Penganjuran Jualan Kasih Johor juga menjamin kesediaan bekalan makanan kepada rakyat.
Insya-Allah kita akan perluaskan program ini pada musim-musim perayaan yang akan datang. Setakat ini kita akan fokus pada musim perayaan, tetapi kalau ada keperluan kita akan buat walaupun bukan musim perayaan,” katanya.
Jualan Kasih Johor dengan kerjasama pihak pasar raya, pasar awam, pasar tani dan pasar tani kekal itu melibatkan penjualan ayam sebanyak 540 tan metrik, ikan (108 tan metrik), telur ayam pelbagai gred 135,000 papan dan 60,000 botol minyak masak.
Program itu juga bagi membantu mengurangkan lapisan perantara pasaran dari ladang ke pengguna dan memberi faedah kepada kedua-dua kumpulan yang berkepentingan tersebut. – UTUSAN










