TAMPIN: Polis kini sedang mengesan seorang lelaki warga emas yang dipercayai hilang sejak pagi semalam di Kampung Air Gelugor, Gemencheh di sini.
Lelaki berkenaan, Ali Akbar Khatib Ali, 70, kali terakhir dilihat oleh keluarganya memakai t-shirt berbelang biru kelabu, seluar berwarna biru dan berkopiah.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, kira-kira pukul 9.30 pagi, pengadu yang merupakan anak warga emas berkenaan mendapati bapanya telah keluar rumah dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HR-V berwarna merah gelap dengan nombor pendaftaran NDN 877.
“Pengadu telah menghubungi nombor telefon bimbit bapanya namun gagal. Bapa pengadu masih belum pulang ke rumah dan masih gagal dihubungi.
“Kali terakhir telefon bimbit warga emas berkenaan boleh dihubungi pada pukul 1 tengah hari semalam. Hebahan mengenai kehilangan warga emas telah dibuat melalui Bilik Gerakan Daerah (DCC) Tampin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin menerusi nombor 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-UTUSAN.










