Pasangan kekasih dipercayai pengedar dadah ditangkap - Utusan Malaysia

Pasangan kekasih dipercayai pengedar dadah ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Empat individu termasuk sepasang kekasih yang dipercayai merupakan pengedar dadah ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di dua lokasi berasingan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pasangan kekasih iaitu lelaki berusia 47 tahun dan wanita berusia 29 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 9.30 pagi di hadapan sebuah rumah di Gemas.

Menurutnya, hasil pemeriksaan kenderaan yang digunakan suspek telah menjumpai lapan balutan plastik berwarna hitam dan empat peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin dengan anggaran berat lebih satu kilogram/

“Selain itu, turut ditemukan 19 peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu anggaran berat 156 gram dan dua biji pil erimin 5 dengan anggaran berat 0.60 gram. Nilai anggaran  rampasan dadah bernilai RM14,800,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Amiruddien lagi, lanjutan dari penahanan tersebut, kira-kira pukul 11.40 pagi, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah menahan dua lelaki berusia 46 tahun dan 31 tahun di hadapan sebuah rumah di Senawang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan kenderaan yang digunakan suspek telah menemui  satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi 24 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 99.1 gram.

“Selain itu turut ditemukan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi 12 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 62.2 gram dan satu bungkusan plastik lutsinar berisi campuran.

“Kami turut menemukan ceraian tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 20.1 gram dan satu paket plastik berwarna biru berisi 17 biji pil disyaki Yaba dengan anggaran berat 3.4 gram. 

Menurutnya, anggaran nilai rampasan dadah bagi tangkapan di Senawang itu adalah sebanyak RM13,494.

“Hasil ujian saringan air kencing didapati kesemua suspek positif dadah jenis  Methamphetamine. Semakan juga mendapati  kesemua suspek turut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan pengedaran dan penagihan dadah,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN