TAMPIN: Seorang guru besar meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di bilik guru, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superitenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden membabitkan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Geduk berusia 44 tahun itu kira-kira pukul 11.25 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati guru berkenaan telah menghadiri Program Hari Usahawan 2025 di sekolahnya dan semasa kejadian dia didapati tidak sihat dan telah berehat di biliknya.
“Pada pukul 9 pagi, rakannya mendapati guru besar itu tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Gemencheh. Guru besar itu telah disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.
“Mayat guru besar itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa berkata, dia sepatutnya hadir untuk merasmikan program terbabit pada pukul 11 pagi, namun sejam sebelum itu pegawainya memaklumkan kematian mendiang.
Menurutnya, mendiang baru lapan bulan berkhidmat di sekolah itu dan sebelum ini bertugas di SJKC Air Kuning. – UTUSAN










