Pinda Perlembagaan, mudahkan proses hilang kelayakan ahli Parlimen

Pinda Perlembagaan, mudahkan proses hilang kelayakan ahli Parlimen

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlembagaan Persekutuan harus dipinda bagi memudahkan proses gugur taraf dan hilang kelayakan terhadap ahli Dewan Rakyat yang disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Pindaan terhadap Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mengenai hilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen dianggap mengelirukan sehingga membuka ruang kepada individu berkedudukan dan tinggi darjatnya, ‘memanipulasi’ pro­ses undang-undang bagi mengekalkan kelayakannya sebagai ahli Dewan Rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, jika kerajaan meminda peruntukan itu, ia sekaligus memudahkan proses hilang kelayakan seseorang selepas mahkamah menjatuhi hukuman ekoran jenayah yang dilakukan.

KECELARUAN

“Seseorang sepatutnya hilang taraf sebagai ahli Parlimen apabila beliau didapati bersalah oleh mahkamah, tetapi pindaan kepada Perkara 48 ini sangat perlahan disebabkan beberapa kecelaruan dalam peruntukannya.

“Jadi, Perkara 48 ini banyak menyelubungi perkara asas sehingga amat sukar bagi seseorang ahli Parlimen digugurkan,” katanya semalam.

Rais memetik contoh situasi berlaku terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang belum hilang kela­yakan ahli Parlimen kerana Perlembagaan membenarkannya berdasarkan Perkara 48(4)(c).

Perkara itu menyatakan bahawa kehilangan kelayakan hanya akan berkuat kuasa selepas petisyen pengampunan dibereskan.

“Jadi, ia boleh ‘disalah pro­ses’ oleh seseorang yang tinggi darjat atau kedudukan dalam negara hingga merumitkan proses undang-undang. Jadi, proses ini sangat penting untuk dipinda supaya demokrasi dihormati semua pihak,” katanya.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta tidak mendapat pengampunan bebas.

DIFAILKAN

Namun, Perkara 48(4)(c) pula memperuntukkan jika petisyen pengampunan difailkan ahli Parlimen berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan ahli Parlimen itu hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan.

Pada September 2022, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya kerajaan memansuh peruntukan dalam Perlembagaan dan menghilangkan kelayakan Najib sebagai ahli Parlimen.

Najib sebelum ini memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42 Persekutuan Perlembagaan pada 2 September 2022, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan.

Maka, kuat kuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak).

Pada 2 Februari lalu, Urus setia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memaklumkan, Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028, selepas hukuman penjara yang ditetapkan selama 12 tahun sebelum ini dikurangkan menjadi separuh.

Katanya, denda yang perlu dibayar bekas ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, sekiranya Najib tidak membayar jumlah denda itu, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun, menjadikan tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2029.

Najib yang juga bekas Pre­siden UMNO itu kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa pertama kali pada 14 Julai 2018, didapati bersalah bagi pertuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN