Peranan Parlimen Belia bukan hanya pak turut

Peranan Parlimen Belia bukan hanya pak turut

SEMUA parti politik perlu memberi peluang yang luas kepada belia bukan sahaja dalam memberi pandangan tetapi juga terlibat dalan organisasi parti sebagai persediaan melahirkan pemimpin pelapis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kewujudan Parlimen Belia tidak boleh sekadar pelengkap atau rubber stamp tanpa memberi ruang sepenuhnya kepada golongan itu untuk terlibat dalam merencanakan pembangunan negara.

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Iman Azhar berkata, Parlimen Belia perlu diberikan ruang dalam menjadi mekanisme semak dan imbang kepada polisi dan dasar yang dibentuk oleh Dewan Rakyat bagi memastikan setiap keputusan tidak mengetepikan suara belia.

“Parlimen Belia perlu dilihat bukan sekadar untuk mempersiapkan golongan belia menjadi prospek kepemimpinan masa hadapan negara, malah ia mesti menjadi platform untuk golongan itu bersuara dan peranan mereka diiktiraf berorientasikan acuan dan kesesuaian kontemporari.

“Parlimen Belia juga perlu menjadi medium paling kritikal dalam membahaskan isu yang diketengahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Muhammad Iman menambah, sekiranya Parlimen Belia ini tidak diberi peluang seperti itu, ia mungkin menjadi sekadar platform bual bicara dan akhirnya motivasi para belia dalam mengangkat suara generasi muda akan terhapus.

“Pilihan Raya Belia ini juga akan menjadi penanda aras yang mustahak dan penting dalam melihat bagaimana literasi dan penerimaan masyarakat belia terhadap amalan demokrasi yang diamalkan dalam negara ini.

“Ini kerana sudah tiba masanya untuk golongan belia diberikan peluang dalam menjadi entiti yang diiktiraf dalam mencorakkan strategi dalam memenuhi setiap keperluan masyarakat dan negara, “katanya.

Naib Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman pula berkata, Parlimen Belia tidak boleh menjadi pak turut sahaja.

“Kita menginstitusikan Parlimen Belia supaya ia bukan sekadar program ataupun perbahasan di peringkat Parlimen sahaja, malah hasil daripada mana-mana perbahasan perlu dibawa ke peringkat kerajaan dan Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

“Parlimen Belia kali ini perlu mempunyai kesinambungan dan kemampanan agar ia kekal relevan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×