Pemilik syarikat bekal makanan didenda RM7,000, gagal kemuka penyata cukai - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat bekal makanan didenda RM7,000, gagal kemuka penyata cukai

MOHD. Rushidi Shamsudin (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi berdepan 14 pertuduhan gagal mengemukakan penyata cukai.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemilik syarikat membekalkan makanan dan minuman di Bandar Seri Jempol, didenda sebanyak RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas dia mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan gagal mengemukakan penyata cukai perkhidmatan yang genap masa bagi 14 tempoh bercukai mulai Mac 2021 hingga Ogos 2023.

Orang Kena Saman (OKS), Mohd. Rushidi Shamsudin, 38, pemilik tunggal syarikat Lui Angkut Enterprise membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin. 

Mengikut kesemua pertuduhan itu, antara bulan 1 Jun 2021 hingga 3 Oktober 2023, di alamat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan, Jalan Paroi-Senawang, Seremban, OKS sebagai Orang Kena Cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018, telah didapati gagal mengemukakan penyata SST-02 bagi tempoh bercukai sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 26(1) Akta Cukai Perkhidmatan 2018. 

Berikutan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(6)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda maksimum sebanyak RM 50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan telah dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Nuramalina Muslim dan Nur Nadia Mohd Rais manakala Mohd. Rushidi tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Mohd. Rushidi merayu agar hukumannya dikurangkan memandangkan dia tiada sumber pendapatan, namun Nuramalina memohon satu hukuman setimpal dikenakan ke atasnya.

“Saya mohon hukuman yang dapat pengajaran kepada OKS dan orang lain agar tidak memandang ringan tanggungjawab membayar cukai,” katanya.

Surita kemudiannya menetapkan hukuman denda sebanyak RM500 bagi setiap 14 pertuduhan dan sekiranya gagal bayar OKS berhadapan hukuman penjara selama seminggu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN