Pembukaan semula resort kembalikan aura Tasik Bera

Pembukaan semula resort kembalikan aura Tasik Bera

LEONG Yu Man (dua dari kiri) bersantai mengelilingi Tasik Bera untuk menikmati keindahan fenomena tasik air tawar terbesar negara itu di Bera, Pahang semalam. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Tasik Bera yang suram dijangka kembali meriah apabila sebuah syarikat berwibawa d­ipilih untuk menguruskan resort bagi mengembalikan aura tasik semula jadi air tawar terbesar negara itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, Tourism Pahang sudah mengenal pasti sebuah syarikat berpengalaman yang akan menguruskan resort di Tasik Bera selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Tourism Pahang selaku agensi pelancongan negeri membuka tawaran kepada mana-mana syarikat atau operator yang berminat untuk menguruskan resort di Tasik Bera dan ia dalam proses akhir.

“Tasik Bera seolah-olah hilang dari radar pelancong domestik dan luar negara berikutan masalah ketiadaan pihak yang mengusaha dan menguruskan resort serta menghidupkan aktiviti ekopelancongan di tasik ini.

“Persekitaran Tasik Bera pada ketika ini sudah pun dilengkapi kemudahan asas antaranya jeti, chalet 23 bilik, ruang pejabat, kafetaria, surau dan tapak perkhemahan. Kawasan sekitar dan di tasik itu sendiri boleh diadakan pelbagai aktiviti lasak dan mencabar antaranya jelajah hutan, kayak dan memancing,” katanya di sini semalam.

Yu Man yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang yakin usaha bersepadu antara Tourism Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan masyarakat Orang Asli etnik Semelai mampu menjadikan Tasik Bera kembali ceria serta menjadi destinasi popular dikunjungi pelancong.

“Tasik Bera adalah kawasan Tanah Lembah Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama di Malaysia, berkeluasan lebih 30,000 hektar dan mempunyai keistimewaan sebagai habitat flora dan fauna serta kepelbagaian biologi akuatik bagi spesies yang terancam atau hampir pupus,” katanya.

Beliau berkata, pelancong akan ‘dihidangkan’ dengan fe­no­mena alam semulajadi yang mengasyikkan serta aktiviti aktiviti kebudayaan lebih 2,000 etnik Orang Asli Semelai yang tinggal di situ sejak ratusan tahun.

Menurutnya, mereka yang minat memancing, aktiviti santai ini dapat menenangkan tekanan minda setelah penat be­kerja mencari rezeki.

“Di Tasik Bera terdapat profil spesies bagi 36 famili dan 158 spesies ikan air tawar termasuk empat spesies baharu yang didokumentasi dalam buku Fishes of Tasik Bera,” katanya.

Beliau berkata, Tasik Bera yang dianggap ‘jantung hati’ pelancongan Pahang selepas Tasik Chini berupaya merangsang rantaian ekonomi kepada etnik Semelai dan daerah ini.

Tegasnya, pengiktirafan Tasik Bera sebagai Tapak Ramsar menaikkan profil kawasan itu sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa, meningkatkan penjanaan ekonomi komuniti setempat melalui aktiviti ekopelancongan.

“Pengiktirafan antarabangsa kepada Tasek Bera merangsang kita lebih komited dalam menyokong usaha-usaha konservasi biodiversiti dan menggalakkan aspek pembangunan lestari di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×