Pelancong buka peluang kerja buat Melayu Thailand - Utusan Malaysia

Pelancong buka peluang kerja buat Melayu Thailand

Pelancong Malaysia ke Hatyai memberi rezeki kepada Melayu Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATYAI (THAILAND): Kebanjiran rakyat Malaysia ke Hatyai setiap kali cuti umum dan hujung ming­gu sejak 10 tahun lalu menjadi lubuk rezeki buat masyarakat Melayu dari wilayah di selatan negara itu khususnya Pattani dan Narathiwat.

Rata-rata masyarakat Me­layu dari kedua-dua wilayah itu mengakui ‘kegilaan’ rakyat Malaysia melancong ke sini membolehkan mereka mempunyai pe­luang kerja lebih baik seperti menjadi pemandu van dan pemandu pelancong berbanding menoreh getah, menangkap ikan, buruh serta petani sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yie, 55, berkata, sejak bertugas sebagai pemandu pelacong dia mampu meraih pendapatan lumayan berbanding buruh sebelum ini.

“Alhamdulillah, sudah lima tahun saya bertugas sebagai pemandu pelancong dengan membawa rakyat Malaysia berkunjung ke Hatyai, Pattani dan Narathiwat.

“Melalui pendapatan ini saya dapat membina sebuah rumah yang lebih selesa untuk keluarga dan membolehkan anak-anak mendapat pendidikan yang ­le­bih baik untuk masa depan,” katanya yang berasal dari Sungai Golok.

Yie berkata, walaupun penat namun dia gembira apabila dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia yang disifatkan cukup peramah dan pemurah.

Katanya, dia pernah memperoleh tip mencecah puluhan ribu baht disebabkan oleh perkhidmatan yang diberikan.
“Walaupun masa bersama keluarga dan anak-anak agak kurang, namun mereka memahami pekerjaan saya,” ujarnya.

SEMPAT

Seorang lagi pemandu pelancong Siti Zahara Kadir, 43, berkata, kebanjiran rakyat Malaysia ke Hatyai membuatkan dia tidak sempat untuk ‘berehat’ panjang disebabkan oleh permintaan yang terlalu tinggi.

Katanya, setiap minggu ada sahaja rakyat Malaysia yang mendapatkan perkhidmatan daripada syarikat tempat dia bekerja.

“Sudah enam tahun saya be­kerja dalam bidang ini. Kemasyhuran Hatyai menjadi ‘rezeki’ terpijak buat orang Melayu di sini.

“Anda boleh lihat, syarikat pelancongan tumbuh umpama cendawan selepas hujan,” katanya.

Sementara itu, pemandu van Hamdan Mohd. Yamin, 25, berkata, dia menjadikan pekerjaan tersebut pendapatan sam­pingan setiap kali cuti semester universiti.

Pelajar tahun akhir Universiti Pattani jurusan Pengajian Me­layu berkata, tahun ini ini merupakan tahun kedua dia menjadi pemandu van secara sambilan.

“Kebolehan berbahasa Melayu membuka ruang kepada saya menjadi pemandu van. Hal ini kerana, fasih berbahasa Melayu dan membaca dengan baik menjadi kelebihan sebagai pemandu van.

“Ia akan memudahkan komunikasi dengan rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand,” ujanrya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×