HAT YAI, THAILAND: Beberapa kawasan tumpuan rakyat Malaysia di Hat Yai di sini dinaiki air sejak malam tadi berikutan hujan lebat berterusan yang melanda wilayah Songkhla sejak dua hari lalu.
Antara lokasi terkesan ialah kawasan sekitar Kim Yong Market, Lee Garden Plaza serta jajaran jalan utama menuju ke Central Hat Yai yang sering menjadi persinggahan pelancong dari Malaysia.
Paras air di beberapa kawasan dilaporkan mencecah paras lutut orang dewasa atau 0.5 meter, sekali gus menjejaskan operasi perniagaan serta pergerakan kenderaan.
Media tempatan melaporkan, Gabenor Songkhla, Ratthasart Chidchoo berkata, selain daerah Hatyai, kawasan lain yang dinaiki air ialah daerah Rattaphum, Muang Songkhla, Khlong Hoi Khong, Ranot, Krasae Sin dan Sathing Phra.
Beliau turut mengarahkan kesemua 16 ketua daerah untuk bekerjasama dengan pejabat lebuh raya tempatan bagi memasang papan amaran dan kon keselamatan serta memohon tambahan pam air bagi mempercepat kerja mengepam air dan membuka semula jalan terjejas.
Katanya, pihak berkuasa daerah juga diminta menasihatkan pemandu supaya menggunakan laluan alternatif sekiranya paras air masih tinggi.
Sementara itu, pelancong dari Pulau Pinang, Syafiq Akmal Razali, 35, berkata, dia baharu tiba sekitar pukul 8 malam tadi dan bercadang untuk bercuti di Hat Yai sehingga esok.
“Sepanjang jalan dari Pekan Danok ke Hat Yai juga saya nampak beberapa kawasan dan jalan utama dinaiki air tetapi oleh kerana maklumat awal menyatakan Hat Yai belum dinaiki air kami teruskan perjalanan.
“Namun, tidak lama selepas mendaftar masuk di sebuah hotel di sini, kami dimaklumkan air mula menaiki beberapa kawasan utama di Hat Yai dan diminta memastikan kenderaan diubah ke kawasan selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syafiq Akmal berkata, dia bersama empat lagi ahli keluarganya belum memutuskan sama ada mahu memendekkan percutian atau mengubah lokasi ke tempat lebih selamat.
Setakat pagi ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun beberapa perniagaan kecil di kawasan tumpuan dilaporkan mengalami kerugian akibat premis dimasuki air. – UTUSAN










