KANGAR: Meskipun banjir mula melanda selatan Thailand berikutan hujan lebat berterusan sejak lima hari lalu, namun ia tidak menghalang rakyat dari negara ini yang sudah merancang perjalanan bercuti ke negara gajah putih itu pada cuti hujung minggu ini.
Dijangka lebih 25,000 rakyat Malaysia memasuki Thailand bermula hari ini khususnya di beberapa lokasi tumpuan seperti Hatyai, Satun dan Pattani dengan 70 peratus tempahan penginapan juga sudah penuh.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, pada masa ini, keadaan di Hatyai khususnya masih terkawal dengan beberapa kawasan memasuki bandar itu sahaja mula dinaiki air.
Katanya, keadaan di bandar Hatyai masih terkawal namun jika hujan berterusan berkemungkinan air akan mula naik namun dijangka tidak terlalu teruk.
“Setakat ini, 70 peratus bilik sudah ditempah dengan 25,000 rakyat Malaysia dijangka bercuti di beberapa lokasi tumpuan pelancongan seperti Hatyai, Satun dan Pattani pada cuti hujung minggu ini. Hari ini, pengunjung juga sudah mula masuk. Kebanyakan kawasan rendah air sudah mula naik dan amaran siap siaga juga sudah dikeluarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama lima hari lalu.
Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu berkata, kawasan perdagangan utama di Pattani mengalami banjir teruk akibat limpahan Sungai Pattani dengan paras air mencecah sehingga satu meter.
Selain daerah Muang Pattani, beberapa daerah lain seperti Yarang, Saiburi, Mae Lan dan Khok Pho turut dilanda banjir.
Di Yala dan Narathiwat, situasi banjir bertambah buruk apabila sungai berhampiran melimpah sehingga mencapai paras berbahaya.
Malah, menurut kenyataan Jabatan Lebuhraya Thailand, setakat semalam, 47 lokasi di lebuh raya dilaporkan terjejas berikutan bencana banjir di wilayah Selatan Thailand, namun 39 lokasi masih dibuka untuk laluan trafik dan lapan terpaksa ditutup.
Jabatan Meteorologi Thailand pula dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat dijangka melanda wilayah selatan Thailand, termasuk Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Phangnga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun.
Sementara itu, Aida menasihatkan pelancong supaya tidak mengunjungi kawasan air terjun sebaliknya hanya tertumpu di kawasan bandar Hatyai sahaja.
Selain itu, katanya, pengunjung juga diminta berhati-hati semasa memandu memandangkan keadaan jalan raya yang licin.
“Pengunjung juga dinasihatkan tidak memakirkan kenderaan di kawasan bawah tanah sebaliknya di kawasan yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










