PUTRAJAYA: Seramai empat orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak malam tadi berjaya ditahan semula, manakala, 126 lagi tahanan masih diburu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, keempat-empat tahanan itu ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi dan mereka akan dibawa ke depoh untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
“Kita masih belum dapat kenal pasti empat individu yang sudah ditahan ini kerana mereka baru sahaja ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Katanya, dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di depot terbabit cedera ringan akibat insiden berkenaan.
Ruslin berkata, ketika rusuhan itu, tahanan dikesan merempuh pintu sel dan pagar, malah turut membaling batu ke arah petugas.
“Buat masa ini, usaha mengesan baki tahanan yang masih bebas sedang giat dilaksanakan dengan bantuan pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kekuatan seramai 387 pegawai dan anggota.
“Pihak berkuasa masih memburu saki baki tahanan dan percaya mereka bersembunyi di sekitar kawasan itu. Kita masih berpandangan mereka tak pergi jauh dan bersembunyi dalam lingkungan di daerah itu.
“Mereka mungkin merancang untuk bergerak pada malam ini dan dalam kumpulan kecil. Jadi ketika ini pegawai dan anggota sedang giat mengesan kesemua tahanan di sekitar Bidor,” katanya.
Katanya, mereka yang melarikan diri terdiri daripada 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang Bangladesh.
Dalam perkembangan sama, Ruslin berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan penggunaan senjata bagi menghadapi sebarang risiko pada masa akan datang.
Ditanya sama ada rusuhan itu berlaku akibat kesesakan di depot, Ruslin berkata, pihaknya menafikan perkara itu dan ia mengikut kapasiti tahanan ditetapkan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, seorang tahanan yang melarikan diri maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 355 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) dipercayai ketika cuba melintasi lebuh raya itu untuk melarikan diri. – UTUSAN










