KUALA LUMPUR: Pembinaan kapal kapal tempur pesisir pantai (LCS) mengalami kelewatan selama hampir tiga bulan, malah gagal menepati garis masa baharu ditetapkan kementerian.
Malah, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapat makluman Kementerian Pertahanan (Mindef) masih belum memuktamad isu reka bentuk terperinci bagi projek pembangunan kapal itu dengan kontraktor asal, Naval Group dari Perancis.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pemuktamadan reka bentuk terperinci itu sebagai tindakan susulan yang harus diambil Mindef seperti disyor PAC dalam laporan prosiding sebelum ini.
Disebabkan kegagalan itu, beliau berkata, pembinaan kapal LCS terus mengalami kelewatan selama 86 hari, malah gagal menepati garis masa baharu ditetapkan kementerian.
“Kebimbangan utama PAC adalah pembinaan kapal LCS terus lewat dan Mindef memaklumkan setakat Disember 2023, projek ini lewat 86 hari dengan mencapai 67.28 peratus berbanding jadual garis masa baharu 68.77 peratus ditetapkan Mindef.
“Kami mahu memaklumkan dengan pengambilalihan Boustead Naval Shipyard (BNS) iaitu syarikat yang bertanggungjawab terhadap kegagalan LCS oleh syarikat Ocean Sunshine Bhd. milik Kementerian Kewangan Diperbadankan pada 18 Ogos 2023, kontraktor BNS sebelum ini milik Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. ditukar nama kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS),” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian selepas membentang laporan PAC tindakan susulan kementerian bagi syor-syor laporan jawatankuasa bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan Jun hingga September 2023.
DIBENTANG
Syor-Syor PAC itu seperti terkandung dalam laporan yang dibentang di Parlimen pada 9 Oktober 2023 dan 14 November 2023. PAC memberi enam dan lima syor bagi kedua-dua laporan prosiding berkenaan.
Pada 9 Oktober tahun lalu, PAC dalam laporan prosiding memaklumkan, pembinaan LCS hanya dijangka siap pada 2029 berbanding tempoh penyerahan aset berkenaan sepatutnya pada 2022. Tempoh masa pembinaan LCS turut dilanjutkan kepada 83 bulan.
PAC mengesyor Mindef perlu memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.
Laporan itu juga mendedahkan isu utama berkaitan reka bentuk terperinci LCS belum diselesaikan, menyaksikan kadar siap di peringkat kontraktor pembinaan kini 96 peratus dan hanya 84 peratus melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group dari Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.
Berikutan itu, PAC mengesyor Mindef memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan reka bentuk terperinci sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam perjanjian tambahan keenam (SA6).- UTUSAN










