NRES tubuh Tabung Khas Konflik Manusia-Haiwan RM10 juta - Utusan Malaysia

NRES tubuh Tabung Khas Konflik Manusia-Haiwan RM10 juta

NIK NAZMI Nik Ahmad (dua kanan) melancarkan buku spesies ikan yang ada di Tasik Bera pada majlis Hari Tanah Lembab Sedunia 2024 di Tasik Bera di Bera, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menubuhkan Tabung Khas Konflik Manusia-Haiwan bernilai RM10 juta pada tahun ini bagi membantu para petani dan pekebun kecil yang mengalami kerugian akibat pencerobohan haiwan seperti gajah.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kewujudan tabung khas berkenaan hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ketika ini petani dan pekebun kecil mendapat bantuan daripada agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika mengalami kerugian ekoran pencerobohan haiwan liar.

“Melalui tabung khas ini, petani dan pekebun kecil terlibat akan diberi pampasan lebih besar mengikut nilai kerosakan yang dialami akibat pencerobohan haiwan.

“Diakui berlaku konflik kepentingan antara manusia dan haiwan yang menceroboh kawasan kediaman dan pertanian penduduk berikutan kawasan habitat spesies itu semakin mengecil setiap tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2024 di Tapak Ramsar Sedunia 2024 di Tasik Bera di sini hari ini.

Tema ‘Tanah Lembap dan Kesejahteraan Manusia’ dipilih tahun ini bagi menekankan kepentingan ekosistem tanah lembab kepada kesejahteraan kehidupan manusia.

Ia juga tepat pada masanya kerana manusia bergantung kepada ekosistem tanah lembab untuk meneruskan kehidupan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, Malaysia cukup bertuah kerana mempunyai kekayaan ekosistem tanah lembap yang luas meliputi keluasan lebih 5.19 juta hektar.

Tambah beliau, daripada segi struktur geografi, tanah lembap meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan terumbu karang yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna.

Menurutnya, tujuh kawasan tanah lembap diiktiraf sebagai Tapak Ramsar di Malaysia iaitu Tasik Bera (1994); Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor (2003); Kuching Wetlands National Park di Sarawak (2005); Lower Kinabatangan-Segama Wetland di Sabah (2008); dan Kota Kinabalu Wetland juga di Sabah pada 2017.

Beliau berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan tapak Ramsar yang baharu iaitu Semenanjung Klias, Sabah, Loagan, Bunut, Sarawak dan Sarikei, Sarawak.

“Tasik Bera Tapak Ramsar yang pertama di Malaysia, berkeluasan lebih 30,000 hektar ini mempunyai keistimewaan sebagai habitat flora dan fauna bagi spesies yang terancam atau hampir pupus.

“Tasik Bera merupakan tasik semulajadi terbesar di Malaysia yang menjadi ekosistem air tawar dari segi kepelbagaian biologi akuatik. Di samping itu, terdapat tidak kurang 2,000 penduduk Orang Asli Semelai yang mendiami kawasan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN