Negeri Sembilan sasar kedatangan pelancong Bangladesh berpendapatan tinggi - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan sasar kedatangan pelancong Bangladesh berpendapatan tinggi

NICOLE Tan Lee Koon (empat dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara Haziz (lima dari kanan) dan Sabbir di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kedatangan lebih 10,000 pelancong dari Bangladesh dalam kalangan mereka yang berpendapatan tinggi disasarkan ke Negeri Sembilan khususnya di pantai peranginan Port Dickson pada tahun ini.

Jumlah tersebut menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon, boleh dicapai terutama selepas jalinan kerjasama yang dimeterai antara Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan dan ejen pelancongan terkemuka negara Asia Selatan itu, Cosmos Holiday,

Kata beliau, dijangkakan kumpulan pertama pelancong dari Bangladesh tersebut akan tiba pada pertengahan bulan Mei ini menerusi satu penerbangan khas dengan anggaran sekitar 160 individu.

“Kita perlu rebut peluang kedatangan pelancong dari Bangladesh kerana setiap bulan seramai 3,000 pelancong negara tersebut melancong ke Thailand, manakala 1,000 lagi ke Singapura, hanya sekitar 500 pelancong sahaja yang datang ke Malaysia.

“Mereka (Bangladesh) memang sudah mula melancong ke banyak negara di serata dunia dan kita harus rebut peluang ini. 

“Bangladesh merupakan pasukan antarabangsa yang terawal menyertai pertandingan Pesta Ngoca yang dianjurkan di Kuala Pilah, ini menjadi petanda mereka berminat untuk melancong serta beriadah di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MAH Negeri Sembilan dan Cosmos Holiday di sini hari ini.

MAH Negeri Sembilan diwakili Pengerusinya, Haziz Hassan manakala Cosmos Holiday diwakili oleh Pengarah Urusannya, Sabbir Ahmed.

Mengulas lanjut, Nicole Tan berkata, kelulusan permohonan visa yang lewat diperoleh dilihat antara punca jumlah pelancong Bangladesh yang rendah berkunjung ke Malaysia berbanding negara jiran lain.

“Ini antara yang cuba kita atasi untuk permudahkan supaya kedatangan pelancong Bangladesh ini tidak disamakan dengan prosedur pekerja asing. Mereka ini sememangnya amat tertarik ke sini, untuk bermain golf dan juga pelancongan kesihatan.

“Kita akan berbincang dengan pihak berwajib bagi memudahkan urusan ini. Jika pelancong Bangladesh ada yang sudah melancong ke pelbagai negara, mereka ini harus mendapat kelebihan fast track.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar pandangan masyarakat terhadap pelancong dari Bangladesh tidak sama seperti pekerja asing dari negara tersebut ke sini.

“Ada 200 juta penduduk Bangladesh, 10 hingga 20 peratus rakyat mereka mampu berbelanja di Malaysia. Sasaran kita ialah untuk pamerkan kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra buat pelancongan Muslim,” kata Nicole Tan lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×