SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak mahu produk pelancongan di negeri ini terlepas pandang daripada kunjungan pelancong malah negeri ini juga mesti menjadi destinasi yang bukan hanya untuk disinggah malahan untuk menginap.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, beliau telah meminta persatuan hotel dan agensi pelancongan untuk menggiatkan promosi perkhidmatan mereka termasuk produk-produk pelancongan yang ada di negeri ini.
“Ada pelancong hanya ikut itinerary (jadual perjalanan) sahaja, dalam itinerary tiada menginap semalam di Negeri Sembilan, oleh itu agensi pelancongan mesti sekurang-kurangnya letak dalam itinerary mereka untuk pelancong menginap semalam di negeri ini.
“Ada juga agensi pelancongan tidak tahu produk-produk pelancongan yang ada di negeri ini, mereka ingatkan tiada produk, bermula sekarang promosi akan digiatkan. Negeri Sembilan ada banyak produk pelancongan, ada lebih 200 cuma ia kurang dipromosikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara pihak Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan dalam pada itu berkata, menerusi MoU yang ditandatangani itu, pihak hotel di negeri ini akan cuba menawarkan harga bilik penginapan dengan kadar lebih rendah supaya agensi pelancongan boleh menyediakan pakej pelancongan ke negeri ini.
“Kami akan menawarkan harga yang boleh dijual kepada MATTA dan mereka boleh menyediakan pakej termasuk pengangkutan dan sebagainya termasuk pakej bufet Ramadan semasa bulan puasa nanti.
“Langkah ini boleh berjaya sekiranya semua pihak bekerjasama dan bergabung, kita tidak boleh tamak. Kami selepas ini akan bersama-bersama MATTA untuk duduk berbincang mengenal pasti dengan lebih teliti mengapa pelancong tidak ke Negeri Sembilan, mereka ke Melaka tetapi tidak ke sini,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi MATTA Negeri Sembilan, Lee Fook Moi berkata, kerjasama dengan pihak MAH itu juga membolehkan syarikat agensi pelancongan untuk merendahkan harga pakej pelancongan yang ditawarkan.
“Apabila MAH membantu menawarkan harga bilik yang agak rendah, kami juga dapat menawarkan pakej dengan harga yang berbaloi, kami juga bukanlah mahu untung banyak. Saya harap lebih ramai akan datang ke Negeri Sembilan apabila melihat kos melancong di sini lebih mampu milik berbanding tempat lain,” katanya lagi.-UTUSAN.










