KUALA TERENGGANU: Kebanjiran pelancong sempena cuti persekolahan sejak hujung minggu lalu membolehkan peniaga Pasar Kedai Payang meraih pendapatan berganda berbanding sebelum ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi tumpuan pelancong itu mendapati ramai pengunjung membeli pelbagai produk antaranya makanan, pakaian dan kraftangan.
Seorang peniaga, Fadillah Harun, 44, berkata, kehadiran pengunjung baik sehingga pendapatannya meningkat berlipat kali ganda menerusi jualan batik dan sutera.
Menurutnya, suasana di Pasar Kedai Payang pada hari biasa suram dengan hasil jualan tidak sampai RM200 namun mencecah lebih RM1,000 ketika cuti panjang ketika ini.
“Antara inisiatif bagi menarik minat pembeli adalah menawarkan potongan harga lima sehingga 10 peratus bagi batik serta sutera asli Terengganu.
Pengusaha kedai emas, Noriah Hashim, 49, berkata, pengunjung memenuhi premisnya meskipun harga emas semasa mencecah RM293 satu gram.
Ujarnya, kebanyakan penggemar dari Lembah Klang gemar berbelanja di negeri ini kerana harga emas di Terengganu merupakan yang paling rendah berbanding negeri lain.
Bagi seorang pengunjung dari Kuantan, Pahang, Wan Kamarudin Wan Mohamad, 35, berkata, dia berbelanja lebih RM300 untuk membeli pelbagai produk makanan dan pakaian.
“Sudah tentu makanan seperti keropok lekor, serunding, dodol yang banyak dijual di Pasar Kedai Payang menjadi pilihan untuk dibawa pulang selain kain pasang serta beberapa produk kraftangan.
“Faktor cuaca yang semakin baik juga mungkin mendorong ramai pelancong domestik yakin untuk bercuti di Terengganu pada cuti persekolahan kali ini,” tambahnya lagi. – UTUSAN







