Lokasi tumpuan warga asing di Seremban diserbu - Utusan Malaysia

Lokasi tumpuan warga asing di Seremban diserbu

MOHAMAD Hatta Che Din (kanan) memeriksa warga asing dalam operasi bersepadu yang diadakan di pusat bandar Seremban petang tadi.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih 900 warga asing diperiksa dan sebahagian daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah selain kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam operasi serbuan di pusat bandar Seremban di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, operasi bermula pukul 4.30 petang itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Tujuan operasi diadakan selepas melihat kepada keresahan masyarakat mengenai kebanjiran warga asing dan sebagai pencegahan jenayah kerana warga asing ini ada terlibat dengan jenayah termasuk pelacuran dan maksiat.

“Operasi ini dilaksanakan sekitar radius dua kilometer di pusat bandar Seremban, termasuk dua lorong bangunan dan beberapa jalan sekitar. Memang kawasan ini menjadi tumpuan warga asing terutama pada hari Sabtu dan Ahad dan hari cuti, memang mereka berkumpul di sini,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut beliau, dalam operasi berkenaan kira-kira 835 orang lelak serta 79 orang wanita warga asing daripada pelbagai negara seperti Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Indonesia telah diperiksa.

“Kami akan tapis dahulu dalam kalangan mereka ini sama ada perlu diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen dan mana yang perlu bagi tangkapan pihak polis. Bagaimanapun, terdapat lima orang telah ditangkap kerana didapati mengganggu penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.

Tambah beliau, seramai 14 pegawai dan lebih 300 anggota polis terlibat dalam operasi tersebut.

Sementara itu, Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata, dalam operasi hari ini pihaknya turut membuat sitaan terhadap tujuh buah premis di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred perniagaan.

“Sitaan di buat kerana tiada warganegara di premis perniagaan tersebut. Kami turut mengeluarkan sebanyak 13 kompaun kerana premis telah melanggar syarat lesen kerana jumlah warga asing didapati melebihi warga tempatan, kebanyakan premis ini adalah restoran dan kedai runcit,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×