Lapan termasuk Inspektor ditahan bantu siasatan kes pemerasan RM35,000 - Utusan Malaysia

Lapan termasuk Inspektor ditahan bantu siasatan kes pemerasan RM35,000

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan wang tunai RM35,000.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua lapan pegawai dan anggota berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan semalam susulan laporan yang diterima Polis Kontinjen Johor berkaitan kejadian itu pada 9.32 malam, kelmarin.

Kesemua mereka direman empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam.

“Kes diklasifikasikan dan disiasat bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan. Kes masih pada peringkat siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kumar mengingatkan orang ramai  tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan sambil menegaskan pihaknya komited dalam memerangi  masalah integriti dan salah laku jenayah dalam kalangan pegawai serta anggota pasukan itu demi meningkatkan keyakinan masyarakat.

“Pegawai dan anggota yang dipercayai melakukan jenayah, akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan polis dengan mendakwa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini.

Susulan itu, enam lelaki dan dua wanita yang juga pegawai serta anggota polis IPD Seri Alam ditahan kira-kira pukul 2 pagi semalam untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×