SEBERANG PERAI: Peruntukan lebih RM700 juta yang disalurkan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berperanan meringankan perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan Mac ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, program penyerahan bantuan itu masih berjalan dan dijangka selesai pada 11 Februari ini.
“Sebentar tadi bantuan penyerahan menyaksikan sumbangan Kerajaan Madani untuk negeri Pulau Pinang melibatkan peruntukan lebih RM30 juta yang telah diserahkan kepada lima Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Peruntukan keseluruhan bagi BAP ini berjumlah lebih RM700 juta membabitkan lima juta pelajar di seluruh negara dan ia dijangka selesai 11 Februari (minggu depan),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Sesi Libat Urus bersama Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Penyerahan Cek BAP Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak pada September lalu.
Katanya, hasil siasatan insiden itu sudah diserahkan kepada pihak autoriti untuk meneruskan tindakan lanjut.
“Siasatan daripada pihak kita (KPM) telah selesai dan hasil siasatan juga telah diserahkan kepada pihak autoriti untuk meneruskan apa saja tindakan. Jadi kita tunggu apa pula tindakan daripada pihak berkaitan,” katanya.
Dalam kejadian pada 24 September lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah berprestij itu cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas mendakwa diserang empat pelajar senior.
Insiden berkenaan didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian di platform media sosial, namun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan itu kerana didakwa memberi imej buruk kepada sekolah terbabit. -UTUSAN










