PETALING JAYA: Pengosongan kerusi wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Kerajaan Perpaduan bukan kuasa parti itu.
Ahli Parlimen Labuan Bersatu, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman berkata, walaupun Bersatu mahu meminda perlembagaan parti, pelbagai kemungkinan boleh timbul dalam soal pengguguran kerusi mereka.
“Soal berani atau tidak kerusi dikosongkan itu terserah kepada Dewan Rakyat dan mahkamah. Cuma pindaan itu entah lulus atau tidak kerana ia tertakluk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Kalau RoS lulus pun, mungkin pindaan itu terpakai kepada sebarang tindakan wakil rakyat selepas ini dan tidak semestinya yang sudah menyokong. Jadi itu pandangan saya secara peribadi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pada masa sama, beliau berkata, rakyat juga sudah tentu marah kerana kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk mengadakan enam pilihan raya kecil (PRK) serta terpaksa keluar mengundi sekali lagi hanya disebabkan pindaan yang dilaksanakan Bersatu.
BERALIH
Sebelum ini, media melaporkan, ‘riwayat’ enam ahli parlimen Bersatu yang beralih sokongan kepada Perdana Menteri didakwa bakal tamat menerusi pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini.
Perhimpunan khas itu dijadual diadakan selama dua jam bermula pukul 3 petang di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Selain Suhaili, lima lagi ahli parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah iaitu Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) serta Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Terdahulu, Suhaili tegas mempertahan keputusannya menyokong Anwar dan kerajaan.
Menyifatkan pindaan itu adalah hak Bersatu, Suhaili bagaimanapun berkata, tidak mungkin untuk beliau serta lima lagi ahli parlimen parti itu menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan kerana mereka ketika ini dapat membantu rakyat di kawasan masing-masing.
“Saya sekarang menikmati kemudahan sebagai wakil rakyat kerajaan. Saya minta peruntukan, itu sahaja, (jadi) parti kena faham.
“Parti patut berterima kasih kerana dalam keadaan sebagai pembangkang, kita mampu bantu rakyat. Kalau patah balik (dan sokong Bersatu), apa saya boleh tolong pengundi selama empat tahun,” katanya. – UTUSAN










