Kerjasama UMNO, DAP hanya wayang?

Kerjasama UMNO, DAP hanya wayang?

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari mendakwa, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan hanya ‘wa­yang’ susulan tiada kebersamaan yang diperlihatkan khususnya antara UMNO dan DAP.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, percanggahan jelas dapat dilihat dalam beberapa isu yang dimainkan UMNO tanpa mengambil kira penambahbaikan yang ingin dilakukan oleh DAP.

Katanya, ia termasuklah isu kontroversi pencalonan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

IKUT

“Kalau nak cakap dari segi bersama, yang sebetulnya tidak ada, kalau boleh kita katakan DAP ini bukan seperti MCA, MIC yang hanya ikut sahaja cakap UMNO.

“Kalau betul ada kerjasama yang baik, kenapa berebut jawatan ketua kampung di Selangor? Apa yang Nga Kor Ming buat itu untuk tambah baik, UMNO perlu kaji sejarah dan bukan terus menyembur dan berkokok sahaja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas reaksi beberapa pemimpin UMNO yang secara keras menolak cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan kelmarin berkata, tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Malah, ahli Majlis Kerja Ter­tinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengingatkan agar pemimpin DAP supaya lebih berhati-hati serta tidak sentiasa mengguris sensitiviti penduduk bumiputera dengan cadangan bersifat perkauman.

Jelas Ahmad, sudah banyak kali kontroversi dicetuskan pimpinan DAP itu bermula de­ngan cadangan Lim Kit Siang ber­kenaan Perdana Menteri bukan Melayu; Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai (pilihan raya pihak berkuasa tempatan) dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (pakar bukan Islam dalam jawatankuasa syariah)

MEMPERSOAL

Mengulas lanjut, Aziz turut mempersoal adakah kenyataan Ahmad itu mewakili keseluruhan orang Melayu.

“Tanya balik kepada Ahmad Maslan, adakah orang Melayu betul-betul berkongsi sentimen yang sama seperti yang dibawa Ahmad Maslan? Saya tidak fikir orang Melayu sebegitu rupa.

“Asyik sebut, Melayu Cina Melayu Cina, DAP DAP DAP..UMNO masuk Pas lagi baiklah,” sindirnya. Dalam perkembangan sama, Kor Ming pada semalam memaklumkan yang pihaknya akan memanggil semua pimpinan UMNO untuk berbincang mengenai pencalonan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, perbincangan berkenaan bertujuan memastikan kepimpinan UMNO tidak terpesong dengan fakta dan sentimen yang dimainkan Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN