Kementerian Pengangkutan jangan lupa industri teksi  - Utusan Malaysia

Kementerian Pengangkutan jangan lupa industri teksi 

Kementerian Pengangkutan diminta tidak terus melupakan nasib pemandu teksi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan diminta tidak terus melupakan tanggungjawab mereka untuk merangka pelan pembangunan industri teksi supaya perkhidmatan teksi negara kembali pulih dan setaraf dengan di negara maju.

Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamarudin Hussain berkata, industri teksi di negara ini ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan negara jiran serta negara-negara maju lain. 

“Sejak kemunculan e-hailing pada 2012, kami melihat Kementerian Pengangkutan seolah-olah melepaskan tanggungjawab mereka kepada syarikat e-hailing untuk menentukan pasaran, mereka tidak lagi berusaha menaiktaraf industri teksi.

“Sehubung itu, kami berharap Kementerian Pengangkutan akan melakukan perubahan dan memacu industri teksi negara setaraf dengan perkhidmatan teksi di negara-negara maju,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut beliau, kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan diharap dapat menyelesaikan isu kesamarataan  antara perkhidmatan teksi dan e-hailing serta mewujudkan kadar tambang lantai untuk perkhidmatan e-hailing.

Katanya, ketiadaan penetapan kadar tambang lantai oleh kerajaan membuka ruang kepada syarikat e-hailing untuk memanipulasi kadar tambang.

CENDERUNG

Beliau berkata, penumpang lebih cenderung memilih perkhidmatan e-hailing yang lebih rendah daripada harga pasaran sehingga memberi kesan buruk kepada pendapatan hakiki pemandu teksi. 

“Kadar tambang teksi sedia adalah satu kadar tambang berdasarkan inflasi dan kos sara hidup pada 2015, namun demi merebut penumpang dan menguasai pasaran syarikat e-hailing menurunkan harga tambang ke paras paling rendah, adakah ini satu budaya yang perlu dibiarkan oleh kerajaan yang berlandaskan Madani? 

“Kesan perbuatan tidak bertanggungjawab syarikat-syarikat berkenaan meletakkan pemandu teksi kini dalam golongan miskin bandar sehingga menyebabkan kami terpaksa memohon banyak bantuan dari kerajaan,” katanya. 

Justeru, Kamarudin berkata, GTSM yakin sekiranya persaingan yang adil diwujudkan, pemandu teksi bukan sahaja sudah tidak perlu memohon bantuan kewangan kerajaan, tetapi berupaya keluar dari kemiskinan bandar.

Terdahulu, GTSM merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan di atas pemberian insentif caruman penuh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pengiat industri teksi dan bas.

Melalui Belanjawan 2024, kerajaan memberi insentif 90 peratus bayaran caruman Perkeso, dan terkini Kementerian Pengangkutan pula mengumumkan pemberian insentif sebanyak 10 peratus caruman Perkeso menjadikan caruman untuk pengiat industri teksi dan bas bagi tahun 2024 itu ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Perpaduan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×