GEORGE TOWN: Apabila disebut sahaja nasi kandar, ia sudah pasti sinonim dengan Pulau Pinang.
Setiap kali musim cuti perayaan atau cuti sekolah, sudah pasti restoran nasi kandar popular di pusat bandar menjadi pilihan ramai sehingga pelanggan sanggup beratur panjang demi menikmati sepinggan nasi kandar yang dianggap sur dan ‘padu.’
Namun apa yang menjadi persoalan, mengapa nasi kandar Pulau Pinang sering menjadi buruan penggemar makanan? Apakah faktor resipi rahsia lauk- pauk nasi kandar yang diwarisi turun temurun, atau kemahiran ‘joki’ mengadun pelbagai jenis kuah sehingga ‘banjir’ di dalam satu pinggan yang membuatkan nasi kandar Pulau Pinang menjadi pilihan ramai?
Bagi pemilik Restoran Deen Maju, Tajudeen S. Jamaldeen, 53, perniagaan nasi kandar keluarganya bertapak di Pulau Pinang sejak 70 tahun lalu dan telah memasuki tiga generasi.
“Perniagaan kami diwarisi daripada moyang saya, Seeni Pakir yang dahulunya berniaga nasi kandar di kawasan jeti Pengkalan Weld, dan kemudian diteruskan oleh bapa saya, Jamaldeen Seeni Pakir di restoran di Jalan Transfer. Kini saya meneruskan legasi keluarga di Restoran Deen Maju di Jalan Gudwara.
“Apa yang menjadi keistimewaan nasi kandar kami ialah resipinya adalah warisan keluarga kami, dan lauk-pauknya dimasak segar setiap hari,”’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Menurut Tajudeen, restorannya yang meraih anugerah lima bintang dan gred A bagi restoran nasi kandar daripada kerajaan negeri baru-baru ini juga tidak dibuka 24 jam bagi menjaga kesegaran makanan.
“Kami hanya buka restoran bermula pukul 12 tengah hari sehingga 9 malam kerana tidak mahu lauk-pauk yang dijual kepada pelanggan kurang segar.
“Antara lauk-pauk yang menjadi pilihan ramai ialah ayam berempah, telur sotong dan paling istimewa kami mempunyai sambal kelapa yang menjadi pelengkap hidangan nasi kandar,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik Restoran Nasi Kandar Sulaiman yang sedang meniti populariti susulan restoran mereka tular di laman media sosial, Mohamed Imran Mohamed Yasin, 30, berkata, legasi Nasi Kandar Sulaiman bermula lebih 50 tahun lalu sejak 1950-an, iaitu zaman sebelum merdeka.
Katanya, pada masa itu, moyangnya, Allahyarham Sulaiman Madarsa memulakan perniagaan nasi kandar di sekitar pusat bandar George Town.
Malah katanya, resipi nasi kandar di restoran mereka juga adalah legasi turun-temurun daripada moyangnya dan kini dia serta ayahnya yang akan memasak pelbagai jenis lauk untuk dihidangkan setiap hari kepada pelanggan.
“Antara kunci utama hidangan di restoran kami ialah lauk-pauk mesti dihidangkan segar setiap hari kepada pelanggan dan syukur lauk-pauk yang kami masak habis dijual setiap hari.
“Bapa saya, Mohamed Yasin Misawogani, 52, dan juga saya akan memasak lauk-pauk setiap hari bagi mengekalkan kesegaran hidangan kepada pelanggan,’’ katanya.
Tambahnya, dahulu pada zaman moyangnya, nasi kandar hanya mempunyai lauk-pauk asas seperti gulai ikan, gulai ayam, gulai daging dan juga telur rebus.
“Namun, kini dengan peredaran masa, cita rasa orang ramai juga berubah, hidangan di restoran kami juga bertambah selaras dengan kehendak pelanggan.
“Hidangan nasi kandar di restoran kami juga bermula pada harga serendah RM2 sehingga RM218 (rekod paling mahal) mengikut kemahuan pelanggan,’’ katanya.
Selain itu, katanya, joki nasi kandar turut memainkan peranan mengadun pelbagai jenis kuah sehingga banjir di dalam sepinggan nasi sehingga membuatkan rasa nasi kandar menjadi unik dan padu.
“Saya sendiri mempunyai kemahiran menjadi joki. Restoran kami ada tiga orang joki yang berkemahiran mengadun kuah nasi kandar,” katanya.
RESIPI RAHSIA
Sementara itu, pewaris kedai Nasi Kandar Mohd. Raffee, Mohamed Firdaus Mohamed Raffee berkata, resipi rahsia di restoran mereka didatangkan khas oleh nenek moyangnya yang berasal dari India Selatan.
“Selain itu, hidangan lauk-pauk di restoran kami juga dimasak setiap hari bagi mengekalkan keasilan rasa hidangan.
“Rempah ratusnya juga dipilih khas kerana kami mahukan rasa lauk yang istimewa buat pelanggan setia kedai kami,” katanya.
Tambahnya, antara hidangan popular yang menjadi pilihan pelanggan di restorannya ialah gulai ayam, telur sotong, daging masak hitam dan lain-lain.
Sementara itu, seorang penggemar nasi kandar yang merupakan anak jati Pulau Mutiara, Azdy Mohd. Arshad sering menjadi rujukan pengguna media sosial terutama dari luar Pulau Pinang untuk mendapatkan maklumat mengenai restoran nasi kandar terbaik di negeri itu.
Azdy atau lebih dikenali sebagai PakDy sering memuat naik ke laman Facebook mengenai nasi kandar dan restoran pilihan yang menjadi kegemarannya.
Berikut merupakan empat restoran nasi kandar popular disenaraikan Azdy sebagai restoran menghidangkan nasi kandar yang mempunyai rasa sur dan padu boleh dijadikan panduan penggemar nasi kandar.
Bagaimanapun, terdapat banyak lagi restoran nasi kandar di Pulau Pinang yang mempunyai peminatnya tersendiri dan terpulang pada pilihan serta cita rasa masing-masing.
1) Ali Ameir Nasi Kandar
• Kedai ini terletak di kawasan Jelutong di mana ia beroperasi sebanyak dua sesi, iaitu pagi bermula pukul 6.30 pagi sehingga 12 tengah hari dan sesi petangnya pula bermula pukul 6.30 petang sehingga malam.
Lauk nasi kandar di restoran Ali Ameir ini sentiasa fresh kerana ia baru dimasak dan harganya juga lebih murah. Jika pelanggan mahukan rasa nasi kandar yang lebih sempoi, pelanggan boleh meminta joki meletakkan kuah banjir.
2) Nasi Kandar Kampung Melayu
• Kedai ini terletak di bawah flat Kampung Melayu, Air Itam dan dibuka awal pagi sehingga tengah hari, kemudian restoran ini akan dibuka semula pada waktu petang sehingga malam.
Lauk yang istimewa dan sering menjadi pilihan pelanggan di sini ialah ayam goreng dan gulai daging.
3) Nasi Kandar Beratur
• Kedai nasi kandar ini terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling, George Town. Waktu perniagaan kedai ini khusus pada waktu malam sahaja iaitu bermula pukul 10 malam hingga awal pagi.
Pelanggan boleh mula beratur pukul 9.30 malam untuk menikmati rasa lauk-pauk nasi kandar yang masih segar dimasak.
Lauk yang dikatakan killer di sini adalah telur ikan goreng bawang, ayam bawang, daging dan sambal kelapa (wajib letak). Dijamin rancak.
4) Nasi Kandar Raffee
• Restoran nasi kandar ini terletak di Jalan Burmah, George Town dan ia beroperasi pada pukul 7.30 pagi sehingga tengah malam.
Lauk yang wajib dicuba di sini ialah telur sotong, ayam goreng, ayam gulai dan daging hitam.
KETAGIH
“Sehari kalau tak makan nasi kandar, saya rasa tak senang duduk.’’
Itu antara pendapat peminat nasi kandar ketika ditanya kenapa mereka memilih untuk menikmati hidangan berkenaan hampir setiap hari.
Bagi penggemar nasi kandar, Mohd. Rizwan Mazlan, 42, boleh dikatakan setiap hari dia akan menikmati nasi kandar sebagai sarapan pagi untuk permulaan harinya.
“Ada pelbagai lokasi restoran nasi kandar yang menjadi pilihan saya, selalunya saya akan memilih restoran nasi kandar di sekitar pusat bandar kerana ia berdekatan dengan tempat kerja.
“Boleh dikatakan kalau tak pekena sehari nasi kandar, kita jadi ‘ketagih’ sebab terbayang-bayang adunan kuah banjir di atas nasi putih,’’ katanya.
Seorang lagi peminat nasi kandar, Asyraf Mohd. Nawar, 31, berkata, sejak kecil, hidangan nasi kandar dengan lauk asas seperti telur rebus dan bendi rebus disertai kuah banjir sering menjadi pilihannya.
“Dahulu lauk nasi kandar hanya terdiri daripada gulai ayam atau daging serta gulai ikan, telur rebus dan bendi, ini adalah lauk-pauk asas hidangan nasi kandar.
“Hanya pada masa ini, nasi kandar dihidangkan dengan pelbagai lauk seperti udang, ketam dan sotong.
“Walaupun ada pelbagai jenis lauk, saya lebih gemar menikmati lauk nasi kandar yang asas sahaja seperti telur rebus atau ayam goreng berserta bendi rebus sebagai pelengkap hidangan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penggemar nasi kandar, Shah Azaman, 38, berkata, dia gemar melepak dan menikmati hidangan nasi kandar kerana perkhidmatan di restoran nasi kandar yang pantas.
“Walaupun kena beratur, namun tempoh masa menunggu tidaklah terlalu panjang kerana joki nasi kandar pantas menjalankan kerja-kerja mereka,” katanya. – UTUSAN










