Jangan tunggu saat akhir daftar PADU

Jangan tunggu saat akhir daftar PADU

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengingatkan rakyat negara ini mengemaskini maklumat peribadi mereka dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dengan segera bagi mengelakkan kesesakan sistem pada 31 Mac ini.

Sehingga kini, seramai 2.76 juta rakyat negara ini sudah mengemaskini maklumat mereka dalam PADU sejak ia diperkenalkan kerajaan 2 Januari lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin berkata, pihaknya mahu rakyat mengemas kini maklumat dan tidak menunggu di saat akhir.

MENUNGGU

“Ramai yang suka menunggu di saat akhir untuk mengemas kini kini maklumat kerana menganggap masih mempunyai waktu sehingga tarikh akhir.

“Kita harap kemas kini ini semakin meningkat tanpa menunggu 31 Mac ini. Kita perlu tahu juga sistem yang dibangunkan tidak terlepas daripada tekanan yang menjadikan aliran sistem menjadi sesak nanti,” katanya.

Setakat ini, Selangor mencatatkan rekod pengemaskinian ter­tinggi iaitu 4.24 juta orang diikuti Johor dengan 2.77 juta orang dan Sarawak iaitu 1.97 juta orang.

Negeri lain adalah Perak (1.93 juta), Sabah (1.72 juta), Kedah (1.57 juta), Kuala Lumpur (1.41 juta), Pulau Pinang (1.26 juta), Kelantan (1.25 juta), Pahang (1.09 juta), Negeri Sembilan (0.88 juta), Terengganu (0.87 juta), Melaka (0.68 juta), Perlis (0.19 juta), Putrajaya (0.07 juta) dan Labuan (0.06 juta).

Menurut Uzir, ketika ini kemaskini sistem PADU mencatat ke­seimbangan oleh golongan warga emas dan belia.

“Kita juga sedang bergerak untuk menambah kaunter bergerak dan fizikal di dalam serta luar bandar.

“Kita akan bekerjasama dengan komuniti dan ketua kampung untuk memberikan kefahaman tentang kepentingan mendaftar PADU kepada penduduk setempat supaya tidak tercicir daripada mana-mana subsidi atau bantuan,” katanya.

TINGKAT

Dalam pada itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof. Dr. Lee Nan Sang berkata, kerajaan harus mempelbagaikan usaha yang berkesan bagi me­ningkatkan jumlah pendaftaran PADU.

“Berbaki lebih kurang 53 hari untuk mencapai sasaran itu pada 31 Mac. Jadi, kerajaan harus mengambil langkah yang lebih berkesan untuk meningkatkan kadar pendaftaran melalui pelbagai cara seperti iklan kesedaran, pendedahan kepentingan PADU dan mempelawa badan bukan kerajaan untuk bekerjasama.

Selain itu, pemberian baucar dan insentif juga boleh direncanakan oleh kerajaan untuk menarik perhatian golongan yang memerlukan bantuan kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, Nan Sangn berkata, kerajaan perlu memberi jaminan kepada rakyat bahawa keselamatan data PADU terpelihara daripada dicerobohi oleh pihak luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN