PETALING JAYA: Perbalahan antara UMNO dan DAP tidak sepatutnya berlaku selain disifatkan sebagai mementingkan diri sendiri kerana kedua-dua parti itu adalah di bawah kerajaan yang sama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, perbezaan pendapat dan objektif dalam berpolitik adalah perkara biasa serta berlaku di seluruh dunia.
Namun, katanya, apa yang diperlukan adalah mencari cara penyelesaian agar negara dapat ditadbir secara sihat.
Katanya, sentimen sensitif seperti perkauman yang digunakan oleh ahli politik adalah untuk mencetus emosi demi mendapatkan sokongan.
Katanya, perihal negara merupakan sesuatu yang rumit dan perkara baik sememangnya mengambil masa lama.
“Jadi, sebab itulah mana-mana parti yang mahu undi cepat, dia cakap benda yang tidak betul, hanya untuk naik semangat dan sokongan pengundi.
“Sebenarnya untuk kebaikan negara kadang-kadang kita kena ambil masa,” katanya ketika diminta mengulas perbezaan pandangan antara UMNO dan DAPberhubung politik semasa.
Seng Giaw berkata, kumpulan individu yang terlibat perlulah mengutamakan kepentingan masyarakat serta negara dan bukannya kepentingan mana-mana individu.
“Di Malaysia, kita hanya boleh berharap mereka yang berpolitik sayangkan negara selain tidak mempermainkan sentimen agama dan perkauman kerana itu akan membunuh negara,” katanya. – UTUSAN










