SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan sedang dalam proses menunggu keputusan daripada ibu pejabat jabatan itu berkaitan mendapatkan perintah penutupan sementara ke atas taska yang terbabit dengan isu penderaan bayi di Nilai di sini baru-baru ini.
Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, di peringkat pihaknya, laporan dan siasatan berkaitan terhadap taska di Desa Cempaka, Nilai itu sudah pun selesai.
“Sementara ini, kami menunggu keputusan kelulusan perintah (penutupan sementara) daripada ibu pejabat kerana JKM negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah mengosongkan premis ke atas taska tersebut.
“Berkemungkinan kelulusan mendapatkan perintah itu mengambil tempoh masa selama seminggu melainkan kejadian itu ‘mendesak’ tindakan segera akan diambil,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, pihak JKM negeri mengakui kebimbangan para ibu bapa yang menghantar anak mereka ke taska tersebut susulan kes yang berlaku.
Bagaimanapun katanya, apabila sesuatu kejadian penderaan berlaku kepada kanak-kanak, JKM akan melihat perkara itu mengikut situasi.
“Dalam kes yang berlaku itu, hasil semakan secara keseluruhan mendapati di pihak taska, organisasi tersebut mematuhi segala peraturan yang digariskan. Taska berkenaan menjadi lokasi sahaja di dalam kejadian tersebut.
“Di peringkat pelaku, tidak mempunyai jenayah lampau dan pelaku ini mempunyai sijil kursus asas pengasuhan kanak-kanak. Namun begitu, kami mempunyai undang-undang pusat jagaan yang terlibat dalam kejadian penderaan dengan mengenakan perintah penutupan sementara,” katanya.
Rosnah memberitahu lagi, penilaian JKM pula selepas situasi itu mendapati masih ada lebih kurang 20 kanak-kanak berada di taska terbabit.
“Sehubungan dengan itu, sebagai pencegahan awal, JKM telah mengarahkan pelaku supaya tidak mendekati taska terbabit dan peringatan turut diberikan kepada pengusaha untuk tidak menerima semula pelaku,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, mana-mana individu dan organisasi yang menguruskan kanak-kanak disyorkan supaya menyemak rekod jenayah seksual pekerja atau bakal pekerja melalui Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK).
“Pihak berkaitan termasuk ibu bapa yang ingin mengambil pengasuh atau pemilik taska yang ingin mengambil pekerja boleh membuat semakan melalui sistem itu dengan membuat permohonan di JKM bagi memastikan individu yang diambil bebas rekod jenayah terhadap kanak-kanak,” katanya lagi.
Pada 13 Februari lalu, media melaporkan seorang wanita yang juga pengasuh di sebuah taska dekat Desa Cempaka, Nilai, di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menganiaya atau bertindak cuai ke atas seorang bayi perempuan berusia 10 bulan pada 5 Februari lalu.
Tertuduh yang berusia 66 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 10 bulan 30 hari didapati telah menganiaya atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan cara menampar muka mangsa.-UTUSAN.











