PUTRAJAYA: Cadangan supaya graduan asing di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diambil bekerja sementara di negara ini wajar dipertimbangkan tetapi hanya untuk tempoh jangka pendek.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, golongan tersebut tidak boleh dibenarkan bekerja di negara ini dalam tempoh jangka panjang kerana langkah sedemikian dengan sendirinya akan menutup peluang kerjaya graduan tempatan yang saban tahun dihasilkan.
Beliau berkata, kerajaan semestinya perlu memberi keutamaan kepada rakyat sendiri untuk memenuhi kekosongan jawatan dalam sektor-sektor penting.
“Tak boleh tempoh jangka panjang (benarkan graduan asing bekerja). Kalau benarkan untuk jangka panjang, dengan sendirinya menutup peluang kerja kepada rakyat kita yang saban tahun keluar (lulus) dalam bidang-bidang khusus.
“Bagi saya, (kementerian) tak boleh syor. Tapi mungkin satu, dua tahun untuk bekerja, tak boleh terlalu lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, kelmarin.
Zambry menjelaskan, di beberapa negara, misalnya United Kingdom, dasar sedemikan ada diamalkan yang mana pelajar asing dibenarkan untuk tinggal di sana selepas tamat pengajian.
Katanya, pelajar asing di sana boleh bekerja untuk jangka pendek bagi menimba pengalaman sebelum pulang ke negara asal masing-masing.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mencadangkan untuk membenarkan graduan asing IPT tempatan bekerja sementara di negara ini dalam bidang tertentu seperti
sektor teknologi tinggi.
Kata Tengku Zafrul, tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi tinggi amat diperlukan sekarang.
Ini kerana jelasnya, para pelabur tidak boleh menunggu lama untuk graduan tempatan menamatkan pengajian masing-masing dalam bidang-bidang diperlukan.
Sebagai contoh, ujar beliau, industri elektrik dan elektronik memerlukan 50,000 jurutera sedangkan IPT tempatan setakat ini cuma keluarkan 5,000 graduan setahun.
Kongres Kesatuan Pekerjapekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pula membantah sebarang cadangan membenarkan pelajar asing bekerja di negara ini bagi menampung kekurangan tenaga kerja mahir.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah berkenaan bukan sahaja menidakkan peluang rakyat tempatan, bahkan merugikan negara yang telah melakukan pelaburan tinggi melalui IPT demi melahirkan graduan tempatan berkemahiran tinggi. – UTUSAN










