Beri alasan cari kerja untuk tinggalkan bayi - Utusan Malaysia

Beri alasan cari kerja untuk tinggalkan bayi

PIHAK JKM meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu kandung seorang bayi yang ditinggalkan di Kampung Wadi Hana, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita memberi alasan mahu mencari pekerjaan apabila meninggalkan bayi perempuannya di rumah seorang penduduk di Kampung Wadi Hana, di sini sebelum menghilangkan diri.

Wanita yang disyaki warga Indonesia tidak muncul bagi mengambil semula bayi itu setelah meninggalkan kepada seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Isan Nidin sejak 5 Januari lalu.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad berkata, wanita itu meminta kebenaran untuk meninggalkan bayinya yang berusia tiga hari ketika itu selama dua hari kerana mahu mencari pekerjaan untuk menyara anaknya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengadu menyatakan wanita itu memberi alasan perlu mencari kerja dan pengadu terpaksa menerima kerana wanita Indonesia tersebut merayu kepadanya. 

“Selepas tiga hari menjaga bayi itu, pengadu mendapati keadaan tubuh bayi itu menjadi kebiruan lalu membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan susulan.

“Apabila pengadu gagal mengesan ibu kandung bayi itu, dia telah bertindak membuat laporan kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru,” katanya.

Norhafizah berkata, pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru turut menghubungi wakil konsulat bagi memaklumkan perkara terbabit.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menghantar surat kepada pihak konsulat untuk mendapatkan maklum balas berkenaan bayi berhubung status dan masa depannya.

“Pihak konsulat gagal mengesan lebih lanjut mengenai latar belakang keluarga bayi. Walaupun pengadu mendakwa ibu bayi merupakan warga Indonesia menerusi perbualannya ketika ditemui, namun ia tidak dapat dijadikan bukti yang kukuh. 

“Sehubungan itu, bayi itu tidak boleh disahkan sebagai warganegara Indonesia dan pihak konsulat menyerahkan dokumen, penjagaan dan penempatan bayi ini kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru,” katanya.

Justeru, ibu bayi berkenaan perlu tampil ke pejabat JKM dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tentang wanita tersebut boleh menyalurkan maklumat menerusi talian 07-2232606. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini