Bayaran empat angka ‘angkat’ imej imam tarawih - Utusan Malaysia

Bayaran empat angka ‘angkat’ imej imam tarawih

TANGKAP layar berhubung tawaran yang dibuat oleh pihak Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Kuala Krai, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Elaun RM6,000 kepada imam tarawih sepanjang Ramadan yang ditawarkan oleh Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai di sini bertujuan ‘mengangkat’ imej individu yang menjalankan tugas berkenaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Imam Tuanya, Ahmad Maher Safiain berkata, bayaran tersebut dilihat setimpal kerana tugas berkenaan bukan semudah yang disangka.

Menurutnya, untuk menjadi imam, seseorang itu perlu menjaga kualiti bacaan, sebutan dan sifat huruf supaya tidak melanggar hukum tajwid.

“Pada hemat saya bayaran itu setimpal dengan tugas tersebut selain peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Saya harap apa yang dilakukan ini mampu membuka mata semua pihak mengenainya sekali gus mengangkat lagi imej imam tarawih,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, kata beliau, tugas menjadi imam tarawih di masjid tersebut dibuka kepada rakyat Malaysia sahaja.

Ahmad Maher menjelaskan, bayaran empat angka yang diterima oleh imam tarawih bukanlah perkara baharu di negara ini.

Katanya, semasa menjadi imam tarawih di sebuah masjid di Kuala Lumpur, imam jemputan menerima bayaran seba­nyak RM1,000 untuk satu malam.

Mengenai dana untuk membiayai elaun tersebut, beliau berkata, pihak masjid perlu krea­tif dalam mencari sumber kewangan dan tidak bergantung kepada tabung masjid semata-mata.

Beliau yakin ramai individu akan merebut peluang untuk memberi sumbangan bagi menampung bayaran tersebut.

Terdahulu, tular status yang dimuat naik oleh pihak Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Kuala Krai menawarkan bayaran imam tarawih RM6,000 untuk sebulan Ramadan.

Status itu mengundang lebih 1,500 komen dan dikongsi lebih 1,800 pengguna laman sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN