PUTRAJAYA: Al-Quran versi tulisan rumi yang dijual di pasaran secara dalam talian boleh memesongkan akidah umat Islam, selain ada di antaranya yang tidak mempunyai perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Justeru, mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof meminta umat Islam negara ini berwaspada dan elak membelinya.
“Memang terkeliru memilih al-Quran versi Roman ini yang tiada pun teks bahasa Arab namun dibimbangi boleh mengakibatkan isu kesalahan sebutan atau bacaan.
“KDN langsung tidak pernah memperakui kitab itu meskipun dianggap mudah dibaca terutama mereka yang tidak mahir dengan tulisan jawi,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Nik Yusaimi, situasi ralat dan kesilapan berkenaan boleh membawa implikasi buruk apabila maksud sebenar yang tidak tepat sebagaimana nuzul atau kisah ayat tersebut diturunkan.
Beliau memberikan contoh lazim perkataan ‘aalamin yang ada di hujung ayat kedua dalam surah Al-Fatihah bererti ‘sekalian alam’ tetapi apabila disebut aalamin bererti orang sakit.
“Demi memelihara kesempurnaan bacaan kerana ia merupakan surah wajib dalam solat, maka adalah wajib untuk dijaganya dari segi makhraj dan hukum tajwid.
“Dulu kitab-kitab sebegini memang sangat banyak, namun sekarang kami dapati masih wujud lagi al-Quran versi rumi sebegini yang tiada perakuan KDN,” katanya.
Nik Yusaimi berkata, al-Quran versi rumi atau juga dirujuk sebagai transliterasi Roman merupakan modul huruf tulisan Arab yang ditukarkan dengan bunyinya itu diselaraskan kepada abjad sistem rumi.
Pada 1989, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pernah memutuskan ia adalah haram untuk diguna pakai sebagai rujukan.
Hukum berkenaan malahan selaras dengan Lajnah Fatwa al-Azhar di Mesir yang dipetik oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pada 2017 lalu.
Selain itu, Nik Yusaimi menyeru masyarakat supaya bekerjasama menyalurkan maklumat jika menemui bahan al-Quran transliterasi yang memang tiada pun perakuan pihak KDN.
“Versi ini sendiri bercanggah dengan Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Pindaan 2023) bahkan dijual pula tanpa memiliki pelekat hologram KDN terutama atas talian,” jelasnya.
Di Malaysia kata beliau, segala penerbitan al-Quran mengandungi lebih satu juzuk perlu ada cap perakuan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran.
Langkah itu ujarnya, sejajar dengan keputusan kerajaan menguatkuasakan pindaan akta berkenaan pada 1 September lalu demi memelihara kemuliaan ayat al-Quran di Malaysia.
Setakat ini tambah beliau, terdapat sebanyak 965 jenis perakuan al-Quran dan sejumlah 45 pemegang Lesen Mesin Cetak Al-Quran di seluruh negara yang diluluskan oleh kerajaan.
Ini kata Nik Yusaimi, termasuk tulisan Braille untuk pembaca yang cacat penglihatan agar penulisan tepat bebas kesalahan selari misi KDN ke arah sifar al-Quran tiada perakuan.
“Bahkan KDN serius apabila kadar denda sudah pun dinaikkan daripada hanya RM20,000 kepada RM50,000 manakala tempoh hukuman penjara maksimum lima tahun,” tegasnya.
Ditanya mengenai keperluan bagi mualaf belajar al-Quran dengan teks transliterasi, beliau menasihatkan mereka menuntut daripada guru bertauliah meskipun mungkin agak sukar.
Pada masa sama jelasnya, kelompok berkenaan juga disarankan ada niat iltizam untuk mampu mempelajari bacaan yang betul kitab ini tanpa terlalu bergantung kepada versi rumi.










