TAPAH: Cuaca panas yang melanda akibat fenomena El Nino membawa rezeki bermusim buat seorang peniaga air tebu, Pitman Shah Putra, 32, di Chenderiang di sini.
Bagai mendapat durian runtuh, beliau menerima lebih ramai pelanggan berbanding sebelum ini.
Pitman berkata, musim panas selain musim cuti persekolahan membawa rezeki berganda kepadanya iaitu lebih 400 cawan air terjual berbanding 100 sebelum ini.
“Biasanya pelanggan akan membeli satu cawan sahaja seorang namun disebabkan cuaca panas mereka akan membeli lebih dari itu.
“Ada pelanggan yang membeli sampai tiga cawan untuk seorang, katanya haus sangat dan berpeluh satu badan,” katanya di sini semalam.
Katanya, rezeki berganda ini akan dimanfaatkan untuk pusingan modal perniagaan akan datang.
Secawan air tebu dijual pada harga RM3.
Seorang pelanggan, Christina Eng, 45, berkata, minuman itu bukan sekadar menghilangkan dahaga tetapi memberikan tenaga untuk menjalani aktiviti seharian. – UTUSAN










