KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Aman Palestin.
Perkara itu dimaklumkan, Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud yang mewakili responden dalam semakan itu pada sebutan permohonan terbabit di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh di sini semalam.
Sehubungan itu, hakim berkenaan menetapkan 27 Februari ini untuk pendengaran permohonan Aman Palestin untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu.
Mahkamah turut menetapkan 13 dan 20 Februari ini untuk pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan bertulis.
Pada 31 Januari lalu, pertubuhan terbabit selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan 11 akaun bank miliknya berjumlah RM11.03 juta.
Selain SPRM, Aman Palestin menamakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, dua pegawai agensi itu Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff dan kerajaan.
Berdasarkan afidavit yang difailkan, Aman Palestin antara lain mendakwa bahawa pembekuan tersebut adalah tidak sah, tidak munasabah, tidak rasional dan satu salah guna undang-undang dan kuasa.
Mereka mendakwa tindakan pembekuan akaun oleh SPRM dilakukan dengan niat jahat serta merupakan satu percubaan untuk mengganggu kutipan dan penyaluran dana kepada penduduk di Gaza, Palestin.
Pertubuhan itu juga menyatakan, ekoran tindakan pembekuan tersebut, mereka tidak dapat membiayai kos pentadbiran dan operasi termasuk membayar gaji pekerja di samping kehilangan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap NGO itu.
Oleh itu, Aman Palestin memohon perintah certiorari bagi membatalkan perintah pembekuan bertarikh 24 November 2023 yang dikenakan ke atas 11 akaun bank milik pemohon.
Mereka turut memohon perintah mandamus agar SPRM menyahbeku wang berjumlah RM11,026,215.60 dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja-pekerja, pentadbiran, operasi dan misi-misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.
Aman Palestin turut memohon deklarasi bahawa mereka berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam dan seterusnya menyalurkannya secara terus kepada mangsa-mangsa perang di Gaza.










