800 cawan ais tingkap terjual sehari - Utusan Malaysia

800 cawan ais tingkap terjual sehari

MOHD. Almi Seeni Mohamed menunjukkan cara-cara untuk menyediakan minuman ais tingkap atau air sarbat di gerainya di Lebuh Tamil, George Town semalam. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang pengusaha minuman ais tingkap di Lebuh Tamil di sini mampu menjual 800 cawan minuman tersebut sehari terutama ketika cuti hujung minggu ekoran cuaca panas pada masa ini.

Mohd. Almi Seeni Mohamed, 37, berkata, minuman tradisi penduduk Pulau Pinang itu dijual tidak kurang 500 cawan sehari pada hari biasa.

Katanya, ais tingkap atau juga dikenali sebagai air sarbat bukan sahaja mampu menghilangkan dahaga, malah boleh meredakan suhu badan yang panas.

Untuk itu, Mohd. Almi berkata, dia dan pekerjanya memerlukan lebih 80 biji kelapa sehari untuk menghasilkan ais tingkap yang segar kepada pelanggan.

“Jumlah jualan musim panas memang ada peningkatan. Ditambah pula dengan cuti sekolah jadi gerai kami sentiasa menjadi tumpuan.

“Resipi asli ais tingkap ini memang kami kekalkan di mana air kelapa segar merupakan ramuan utama di samping tambahan pelbagai ramuan herba lain seperti getah anggur, selasih dan sebagainya,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mohd. Almi, seiring perubahan masa, mereka turut menambah pelbagai perisa lain di dalam air ais tingkap bagi memenuhi citarasa pelanggan.

“Sebelum ini ada pelanggan bertanya sama ada, air sarbat ini boleh ditambah dengan buah-buahan seperti laici atau lemon.

“Jadi, kami cuba tambah laici dan lemon dan rasanya bertambah sedap serta sesuai apabila diadun bersama dengan air kelapa dan pelanggan turut beritahu perkara sama,” katanya.

Tambah Mohd. Almi, harga air sarbat itu bermula dari RM3.50 hingga RM4.50 secawan dan turut dijual dalam botol bagi memudahkan pelanggan membawa pulang air tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×