Tonton bola Malaysia lawan Korea Selatan jadi kenangan terakhir - Utusan Malaysia

Tonton bola Malaysia lawan Korea Selatan jadi kenangan terakhir

SHAHRIL Naim Isa membantu memasukkan keranda arwah anaknya ke dalam van jenazah di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Menonton bola sepak bersama perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan yang berkesudahan seri 3-3 menjadi kenangan terakhir seorang bapa yang juga anggota tentera di Kem Askar Batu 5, Mentakab di sini bersama anaknya.

Anggota terbabit, Koperal Shahril Naim Isa berkata, arwah anaknya, Muhammed Shafiq Aswad, 11, yang ditemukan lemas selepas dipercayai mandi dalam kolam latihan kereta kebal di kem berkenaan begitu berminat dalam sukan bola sepak dan sering mewakili sekolah.

“Kenangan indah saya bersamanya ialah apabila menonton bersama perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Korea Selatan.

“Saya dapat saksikan arwah anak sangat gembira dan bersorak sakan bagi meraikan perlawanan klasik Harimau Malaya dengan Korea Selatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh di sini hari ini.

Shahril Naim berkata, arwah anaknya sempat menggunakan kasut bola yang baru dibelinya semalam, bagaimanapun dia agak ralat apabila tidak sempat membeli stokin bola baharu yang diminta anaknya.

“Muhammed Shafiq Aswad merupakan anak kedua daripada lima beradik. Arwah begitu akrab dengan kakak dan adik-adiknya dan bercita-cita menjadi pemain bola sepak negara satu masa kelak.

Sementara itu, ibu mangsa, Noriah Rashid, 35, berkata, dia tidak dapat melupakan sikap ringan tangan arwah yang sanggup menjadi pekerja sambilan menghantar pesanan kuih muih kepada pelanggan dalam kem.

Menurutnya, arwah anaknya itu bersedia pada bila-bila masa selepas waktu sekolah menghantar pesanan kuih bagi mengumpul duit.

Dalam pada itu, Sudirman Mustaffa, 37, menyifatkan kehilangan anak sulungnya, Aiman Syafiq, 11, yang turut lemas dalam kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga.

Katanya, arwah sangat cergas dan bijak serta bercita-cita menjadi seorang pegawai tentera untuk menjaga kemakmuran serta keselamatan negara.

Katanya, dia tidak menyangka pesanan terakhir arwah untuk datang mengambilnya pada pukul 6.30 petang menjadi detik menyedihkan apabila dia hanya mampu membawa pulang tubuh anaknya yang sudah tidak bernyawa.

“Pada petang itu saya menghantar arwah mengaji al-Quran dan dia meminta saya mengambilnya pukul 6.30 petang. Itulah hari terakhir berjumpa arwah.

“Pesanan terakhir arwah adalah mengambilnya pada pukul 6.30 petang tetapi apabila saya hadir hanya jenazah terbujur kaku untuk dibawa pulang,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang semalam, selain Muhammed Shafiq Aswad dan Aiman Syafiq, turut ditemukan lemas dalam kejadian di kolam sedalam 2.1 meter itu, Amar Mukhlis Mohd. Anizan,13.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa yang merupakan anak anggota tentera kem berkenaan ditemukan lemas oleh anggota tentera kem berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya