PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berdekatan Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Damansara Damai di sini, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat Paulus Amsal Jimri, 11, ditemukan pagi tadi pada jarak kira-kira 1.9 kilometer (km) dari lokasinya jatuh.
Katanya, panggilan kecemasan diterima sekitar pukul 4.30 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan lebih 18 jam.
“Komander operasi menerima laporan awal daripada polis memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai lemas di sungai berkenaan.
“Susulan itu, operasi pencarian segera dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan surface searching di sepanjang sungai terbabit.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Shah Alam turut digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi pencarian pada hari pertama dijalankan sekitar dua km dengan kaedah pencarian di permukaan dari kawasan daratan, namun mangsa gagal ditemukan.
Katanya, operasi dihentikan pada pukul 9 malam atas faktor keselamatan, susulan keadaan gelap yang menyukarkan pencarian sebelum disambung semula pukul 7.30 pagi tadi dengan fokus menyusuri tebing sungai dari Jambatan Paya Jaras
“Pada pukul 10 pagi, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di tepi sungai di Jalan Welfare, Kampung Baru Sungai Buloh.
“Mayat berjaya dinaikkan oleh PPDA pada pukul 10.47 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada pukul 11 pagi tadi.
“Pengecaman mayat kemudian dilakukan oleh ahli keluarga sebelum diserahkan semula kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










