PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak akan membenarkan sama sekali amalan rundingan terus bagi perolehan kerajaan di bawah pentadbirannya.
Perdana Menteri berkata, amalan itu dilihat membuka ruang yang lebih besar bagi penyalahgunaan kuasa.
“Amalan yang pada hemat saya dari dulu menyaksikan suatu bentuk rompakan penyalahgunaan kuasa. Sang penguasa seperti Menteri Kewangan senang dengan prinsip rundingan terus, tapi dia akan beri ruang yang lebih luas bagi sang penguasa untuk menetapkan (harga).
“Ini pernah berlaku secara meluas dan membataskan bidang kuasa jawatankuasa teknikal dan sebagainya menyebabkan penguasa politik itu menentukan (harga),” katanya ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di sini, semalam.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses rundingan terus boleh dilaksanakan jika ia membabitkan perolehan mendesak terutama berkait kepentingan masyarakat.
“Sebagai contoh, krisis elektrik di Labuan, Sabah berjaya dipulihkan melalui perolehan rundingan terus oleh Petronas.
“Saya tidak katakan tidak ada pengecualian (untuk perolehan kerajaan dilaksana menerusi rundingan terus). Apabila saya di Labuan, ada masalah bekalan elektrik yang mendesak.
“Justeru, kita arahkan Petronas laksana IPP (pengeluar tenaga bebas) itu. Itu satu keperluan yang dianggap mendesak,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan rancangan bagi membantu pekerja mereka yang berpendapatan rendah dan mahu rancangan itu dibentangkan kepadanya dalam tempoh sebulan.
Menurutnya, rancangan itu antara lain perlu merangkumi soal pelaburan, isu bumiputera, pendidikan dan perumahan bagi pekerja GLC berkenaan.
“Saya dimaklumkan ada isu yang belum selesai umpamanya keluarga miskin tegar di bawah Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad.
“Adakah ini (masalah kemiskinan) menjadi masalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah atau masalah syarikat? Tentunya ia masalah syarikat,” katanya.
Katanya, adalah tidak wajar bagi mana-mana GLC meletakkan tanggungjawab berkenaan pekerjanya kepada kerajaan sedangkan mereka mencatatkan keuntungan tinggi.
Anwar berkata, beliau juga mahu GLC memikirkan langkah untuk memastikan kakitangan mereka memiliki kediaman sendiri.
“Kalau ada 15,000 pekerja, 5,000 orang tiada rumah langsung, tak mungkinkah untuk kita fikir rancangan untuk bina rumah kepada pekerja sendiri?” katanya.
Beliau turut berkongsi kisah pekerja GLC yang tidak mampu menyediakan yuran universiti untuk anak-anak mereka sehingga terpaksa mengambil pinjaman pengajian.
“Saya mahu ada perancangan (rancangan GLC bela nasib pekerja) yang jelas,” katanya. – UTUSAN










