SARA boleh buat rakyat jadi ‘malas’

SARA boleh buat rakyat jadi ‘malas’

PENGGEMBLENGAN tenaga kerja disaran dijadikan sebagai elemen dalam penyaluran bantuan kepada rakyat miskin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memakan kos RM700 juta untuk 700,000 penerima memerlukan penilaian kritikal tentang potensi kelemahan dan kesan jangka panjang supaya rakyat tidak terlalu bergantung kepada insentif tunai itu.

Pakar-pakar ekonomi percaya, kebergantungan rakyat yang berlebihan terhadap SARA boleh ‘memerangkap’ penerima dalam kitaran kemiskinan, akibat kekurangan insentif untuk bekerja dan pelaburan dalam pembangunan kemahiran.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, SARA juga mendorong isu ketidakcekapan menyaksikan individu yang tidak layak mendapat manfaat manakala yang layak terlepas.

ASAS

Selain itu, katanya, SARA berisiko dikritik kerana hanya menyediakan jumlah sokongan minimum yang hampir tidak meliputi keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal, menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada perbelanjaan tidak dijangka.

“Perlu diingatkan, jaring ke­selamatan sosial yang benar-benar berkesan bukan sahaja harus melindungi daripada jatuh tetapi juga menyediakan tangga untuk keluar dari kemiskinan sama sekali,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Mohamad Idham, kajian kritikal adalah perlu dengan syarat menghubungkan SARA dengan program latihan kemahiran, bantuan mencari pekerjaan atau inisiatif komuniti yang boleh menggalak pe­nerima berdikari dan penyertaan ekonomi jangka panjang.

Katanya, sasaran dan pengesahan SARA wajar diperkukuh dengan melabur dalam pengumpulan data dan mekanisme pengesahan yang lebih baik supaya SARA mencapai individu paling layak dan mengurangkan kebocoran.

“Kerajaan harus melengkap­kan SARA dengan pelaburan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur yang boleh mewujudkan peluang lebih luas untuk pengurangan kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

CELIK

“Sudah pasti kita perlu memperkasa penerima melalui program celik kewangan dan sokongan keusahawanan supaya mereka boleh mengurus sumber dengan berkesan dan mengejar peluang untuk menjana pendapatan bebas,” katanya.

Kerajaan meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Golongan bujang kekal pada kadar RM600.

Sementara itu, Pensyarah Kewangan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Madya Dr. Mohammed Hariri Bakri berkata, beberapa alternatif boleh memperkasa keadaan hidup lebih sejahtera dengan melabur dalam pelaburan modal insan.

“Fokus pada pendidikan berkualiti di semua peringkat, program latihan vokasional yang sejajar dengan keperluan industri dan peluang pembe­lajaran sepanjang hayat untuk melengkapkan individu dengan kemahiran yang boleh dipasarkan dan kebolehsuaian dalam ekonomi yang berubah-ubah.

“Kerajaan wajar meningkatkan akses penjagaan kesihatan mampu milik, melabur dalam program pencegahan dan memperkasa individu untuk mengurus kesihatan mereka dengan berkesan,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu mempelbagai ekonomi dengan melabur dalam pelbagai sektor melangkaui komoditi tradisional, menggalak inovasi dan kemajuan teknologi untuk mencipta pekerjaan berkualiti tinggi dan menarik pelaburan asing.

Selain itu, katanya, harus ada sokongan kewangan, program bimbingan dan kemudahan pengawalseliaan untuk memupuk pertumbuhan perindustrian kecil dan sederhana (PKS), menjana pekerjaan tambahan dan merangsang ekonomi tempatan.

“Kita perlu mewujudkan pasaran buruh fleksibel, menggalak penciptaan pekerjaan dan peruntukan sumber yang cekap, perumahan mampu milik, pengangkutan awam dan menghubungkan kawasan luar bandar ke pusat bandar,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN