RUU penggal tetap Parlimen: Kerajaan masih boleh ditukar

RUU penggal tetap Parlimen: Kerajaan masih boleh ditukar

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang percaya kerajaan masih boleh ‘tumbang’ atau bertukar selepas pilihan raya umum (PRU) meskipun satu rang undang-undang (RUU) bagi penetapan penggal Parlimen digubal.

Pembangkang juga melihat tiada jaminan bahawa RUU dicadang oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan ‘menyelamatkan’ kerajaan untuk kekal sehingga akhir penggal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembangkang tidak terkesan dengan cadangan itu kerana berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan pertukaran kerajaan di luar kerangka pilihan raya.

PENDEKATAN

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenai pendekatan lain yang boleh diambil pembangkang menukar tampuk pimpinan kerajaan jika undang-undang itu sudah wujud.

“Penggal tetap pun (jika dilulus dan dilaksana), kerajaan tetap boleh ditukar di tengah penggal.

“Menjadi perundangan dan amalan pertukaran kerajaan di luar pilihan raya dibenarkan di bawah Perlembagaan, selaras prinsip demokrasi di semua negara lain dengan syarat pihak yang mencabar kedudukan kerajaan sedia ada dapat membuktikan sokongan majoriti diterima sama ada di Parlimen atau saluran lain yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Sebarang usaha menyekat atau ‘memandulkan’ prinsip teras ini sama ada melalui undang-undang baharu seperti yang dicadang atau tindakan tidak demokratik lain adalah tertolak dan terbatal secara muktamad,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Ahmad Zahid dilapor mencadangkan supaya mewujudkan satu RUU penetapan penggal Parlimen supaya pembentukan kerajaan kekal hingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum.

Beliau membuat cadangan itu bagi menjamin kestabilan negara supaya kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Sementara itu, dalam kenya­taan berasingan semalam, Takiyuddin mempersoal faktor yang mendorong Ahmad Zahid membuat cadangan bersifat ‘novis’ terutama selepas Perdana Menteri beberapa kali mendakwa kerajaan pimpinan mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN