Kajian RUU penggal tetap Parlimen libatkan semua pihak

Kajian RUU penggal tetap Parlimen libatkan semua pihak

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dapatan kajian yang menyeluruh tersebut akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

Kata beliau, kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

“BHEUU menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

“Terdapat banyak negara yang mengamalkan parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta untuk menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Mingguan Malaysia melaporkan, satu rang undang-undang (RUU) ­fixed term parliament atau penetapan penggal Parlimen disaran diwujudkan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Ahmad Zahid yang juga Pre­siden UMNO itu berkata, beliau membuat saranan tersebut demi menjamin kestabilan negara agar kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Bagaimanapun, Azalina Othman menafikan usaha penggubalan satu Akta Parlimen Berpenggal Tetap oleh Kerajaan Perpaduan adalah satu langkah terdesak.

“Sebaliknya mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi, dan memastikan kestabilan politik, lebih-lebih lagi dalam keada­an semasa geopolitik yang tidak tentu pada hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN